Geng Man Janggut tidak sempat seludup keluar PATI

KUALA SELANGOR - Kegiatan Geng Man Janggut yang aktif menyeludup pendatang asing tanpa izin (PATI) menggunakan jalan laut tumpas menerusi operasi di ladang kelapa sawit di Sungai Yu, di sini, pada Ahad.
Op Pintas kira-kira jam 5.30 pagi itu dijalankan Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor.
Ketua Penolong Pengarah D3 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, operasi ini berjaya menahan 22 migran warga Indonesia berusia lingkungan 22 hingga 49 tahun termasuk enam wanita.
"Siasatan mendapati PATI itu dipercayai hendak keluar dari Malaysia," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Soffian berkata, polis juga menahan tiga lelaki Indonesia berusia 24 hingga 28 tahun berperanan sebagai 'transporter' dan pembantu 'transporter'.
"Hasil soal siasat awal dipercayai PATI ini membayar sebanyak RM1,800 hingga RM3,000 untuk masuk atau keluar dari Malaysia," katanya.
Menurutnya, modus operandi sindiket menggunakan kawasan-kawasan kebun kelapa sawit atau paya yang berhampiran dengan pantai agar memudahkan pergerakan mereka ke bot utama yang akan membawa migran ke destinasi yang dituju.
"Kesemua tangkapan dibawa ke IPD Kuala Selangor untuk tindakan selanjutnya.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Atipsom 2007, Seksyen 26J akta sama serta Seksyen 15 (4) dan 6 (1) (c) Akta Imigresen 1956/63," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
