[VIDEO] Kajian UMS jawab kenapa harga barang di Sabah mahal
PAPAR - [DIKEMAS KINI] Kajian Penstabilan Harga Sabah, Sarawak dan Labuan yang dilaksanakan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) akan dibentangkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Januari ini.
Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kajian itu antara usaha penyelesaian yang dibuat bagi melihat kenapa harga barang di Sabah dan Sarawak serta Labuan berbeza dengan Semenanjung.
"Kajian dari UMS, Unimas ini baru selesai Disember lalu dan Januari ini mereka akan bentangkan kepada saya. Kalau sebelum ini orang cakap-cakap harga itu, harga ini tetapi kita tidak ada kajian ilmiah.
"Jadi selepas saya menjadi menteri KDPN, saya lantik UMS untuk Sabah dan Unimas untuk Sarawak buat kajian.
"Jadi saya mengharapkan kajian yang akan dibentangkan oleh UMS ini Januari ini kepada saya akan dapat membantu apakah sebenarnya punca untuk kita menyelesaikan masalah ini dalam jangka panjang," katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah Kinarut Palm City, di Kinarut, di sini pada Ahad.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Papar itu berkata lagi, penyelesaian isu perbezaan harga itu juga bukan hanya melibatkan kementeriannya saja tetapi juga komitmen daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) juga.
"KPDN memantau harga sekiranya ada kenaikan pencatutan, kita ambil tindakan. Kita juga memerlukan komitmen daripada KPKM kerana dari segi bekalan untuk memastikan cukup adalah kementerian tersebut.
"Kita juga mengharapkan isu tentang import dan eksport, kalau mahu import dari luar bekalan makanan tambahan itu bukan tanggungjawab KPDN, itu melibatkan Jabatan Veterina tetapi peranan kita untuk memantau, apa yang disebutkan semalam oleh timbalan menteri saya, kami tidak menafikan memang berlaku harga yang berbeza di Sabah, Sarawak dan Semenanjung.
"Bukan baru, sejak sekian lama tetapi apa yang penting, selain memantau sekarang adalah solusi jangka panjang dan ia perlu berdasarkan data daripada pakar yang mengkaji," katanya.
Sehubungan itu, Armizan menegaskan bahawa beliau tidak mahu memberikan komen berdasarkan kenyataan yang tidak berasas mengenai harga ayam yang dikatakan mencecah RM16.50 itu.
"Kita mengalu-alukan kalau ada maklumat jika dikatakan sini ada harga seperti itu tetapi berikan kami lokasi, kalau ada orang kata harga RM16 lebih tolong saya dapatkan maklumat spesifik di mana dan saya hantar penguat kuasa untuk buat pemeriksaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!