[VIDEO] 'Tun Mahathir boleh bercakap dan mahu makan' - Marina kongsi perkembangan bapa

PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menunjukkan perkembangan kesihatan positif apabila sudah boleh bercakap dan menyatakan keinginan untuk makan.
Anak perempuannya, Datuk Marina Mahathir berkata, keadaan bapanya yang masih dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) itu semakin baik dan hampir kembali seperti biasa.
“Beliau semakin sihat. Boleh bercakap dan mahu makan, jadi okeylah. Hampir seperti biasa,” katanya ketika ditemui pada majlis tahlil Allahyarham ibunya, Tun Dr Hasmah Mohd Ali, di sini pada Selasa.
Majlis yang diadakan di Yayasan Kepimpinan Perdana itu dihadiri 200 pegawai dan bekas pegawai Dr Hasmah.
Ia turut disertai Dr Mahathir dan anak- anaknya, Tan Sri Mokhzani, Tan Sri Mirzan dan Datuk Seri Mukhriz selain kenalan rapat kedua- dua tokoh berkenaan

Allahyarham Tun Dr Hasmah menghembuskan nafas terakhir di IJN, Kuala Lumpur, pada jam 9.20 pagi pada 28 September lalu sebelum selamat dikebumikan di Pusara Negara, Putrajaya pada hari sama.
Pemergian tokoh perubatan dan kebajikan itu meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga, termasuk Marina yang mengakui masih sukar mempercayai ibunya sudah tiada meskipun kira-kira dua minggu berlalu.
Marina berkata, meskipun kehidupan hariannya tidak semestinya membuatkan beliau teringat kepada Allahyarham setiap masa, ada ketika timbul keinginan untuk bertanya sesuatu, meninggalkan pesanan atau berkongsi cerita dengan ibunya.
“Kadangkala saya mahu bertanya sesuatu kepadanya, meninggalkan pesanan atau memberitahunya tentang sesuatu. Kemudian saya sedar saya tidak boleh berbuat demikian lagi.
“Itulah yang sukar,” ujarnya sebak.

Marina berkata, majlis tahlil yang diadakan turut membantu memberikan ketenangan kepada ahli keluarga dalam menghadapi kehilangan insan tersayang.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada orang ramai yang terus menziarahi pusara Allahyarham, termasuk mereka yang datang dari jauh untuk memberikan penghormatan.
Katanya, keluarga terharu dengan keprihatinan orang ramai yang bukan sahaja hadir menziarahi pusara, malah turut menitipkan doa buat Allahyarham.
Marina berkata, pihak keluarga amat menghargai segala doa dan sokongan yang diberikan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


