Jerebu: Semua sekolah, institusi pendidikan di Pekan, Rompin, dan Kuantan ditutup sementara

 Semua institusi pendidikan di bawah seliaan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang di daerah Rompin, Pekan dan Kuantan ditutup sementara pada Rabu berdasarkan keadaan jerebu serta pemantauan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) semasa.
Semua institusi pendidikan di bawah seliaan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang di daerah Rompin, Pekan dan Kuantan ditutup sementara pada Rabu berdasarkan keadaan jerebu serta pemantauan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) semasa.
A
A
A

KUANTAN - Semua institusi pendidikan di bawah seliaan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang di daerah Rompin, Pekan dan Kuantan ditutup sementara pada Rabu berdasarkan keadaan jerebu serta pemantauan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) semasa.

JPN Pahang memaklumkan, sepanjang tempoh penutupan, sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) perlu dilaksanakan melalui kaedah yang bersesuaian mengambil kira kemampuan, akses dan keperluan murid serta kesiapsiagaan guru.

Bagaimanapun menurutnya, peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) akan diteruskan mengikut jadual yang telah ditetapkan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta langkah keselamatan yang berkuat kuasa.

"Calon dan petugas peperiksaan hendaklah merujuk makluman serta arahan lanjut daripada pihak sekolah, pusat peperiksaan dan saluran rasmi JPN Pahang.

"Semua institusi pendidikan hendaklah memantau perkembangan bacaan IPU secara berterusan melalui portal rasmi Jabatan Alam Sekitar, Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara (APIMS) dan mematuhi arahan dan garis panduan Kementerian Pendidikan (KPM),Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Kementerian Kesihatan (KKM) dari semasa ke semasa," katanya melalui kenyataan pada Selasa.

Pekan menjadi daerah ketiga di mana semua institusi pendidikan di bawah KPM di tutup akibat jerebu selepas Rompin dan Kuantan yang ditutup bermula Selasa.

Melalui kenyataan terbaharu itu, JPN Pahang menjelaskan bahawa aktiviti luar juga hendaklah dihadkan bagi mengurangkan pendedahan murid dan warga pendidikan kepada udara tidak sihat.

"Pihak sekolah, ibu bapa dan penjaga turut diingatkan mengenai pemakaian pelitup muka yang digalakkan bagi murid yang hadir ke sekolah, termasuk bagi menduduki peperiksaan sebagai langkah menjaga kesihatan.

"Ibu bapa dan penjaga boleh memilih untuk tidak menghantar anak ke sekolah apabila IPU mencapai 150 dan ke atas," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu katanya, bagi sekolah yang masih beroperasi, ibu bapa dan penjaga hendaklah memaklumkan keputusan tersebut kepada pihak sekolah.

"Bagi calon STAM dan STPM hendaklah merujuk arahan khusus berkaitan kehadiran peperiksaan," jelasnya.

Tambahnya lagi, penutupan automatik dilakukan apabila IPU mencapai 180 dan ke atas menjelang hari berikutnya.

"Sekiranya sekolah telah diumumkan beroperasi seperti biasa tetapi bacaan IPU kemudiannya mencapai tahap tersebut menjelang hari berikutnya, sekolah berkenaan ditutup secara automatik dan Pengarah Pendidikan Negeri akan membuat pemakluman segera.

"Pelaksanaan STAM dan STPM adalah tertakluk pada arahan khusus peperiksaan yang dimaklumkan," katanya.

Melalui kenyataan itu, JPN Pahang menjelaskan ,sebarang perubahan status pengoperasian dan pembukaan semula institusi pendidikan akan dimaklumkan melalui saluran rasmi JPN Pahang serta Pejabat Pendidikan Daerah masing-masing berdasarkan perkembangan semasa dan tahap keselamatan.

"JPN Pahang akan meneruskan pemantauan bersama PPD Rompin, PPD Pekan, PPD Kuantan dan agensi berkaitan bagi memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan seluruh warga pendidikan sentiasa terpelihara," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!