[VIDEO] ''Berpesta' dengan lalat, itulah kami hadapi hari-hari'

A
A
A

KUALA LANGAT - [DIKEMAS KINI] Sudah hampir lima tahun penduduk di Kampung Ladang Batu di sini menahan derita kerana diserang jutaan lalat tidak kira masa siang atau malam pada setiap hari.

Ia dikatakan berpunca daripada pengurusan beberapa ladang ayam berhampiran kampung berkenaan yang menggunakan kaedah lama dan baharu sama ada secara terbuka atau tertutup.

Seorang penduduk, Emiliah Miskun, 52, berkata, penduduk tertekan disebabkan masalah itu seolah-olah tiada jalan penyelesaian sedangkan sudah banyak aduan dibuat kepada pihak berwajib.

Saluah (enam dari kiri) bersama penduduk Kampung Ladang Batu membuat bantahan di balairaya kampung berkenaan pada Ahad.
Saluah (enam dari kiri) bersama penduduk Kampung Ladang Batu membuat bantahan di balairaya kampung berkenaan pada Ahad.

"Penduduk sudah tidak sanggup hadapi situasi ini lagi, kita makan, tidur sudah tidak lagi tenang dan harapan penduduk apabila pihak berwajib sudah datang ke sini, tindakan diambil.

"Tolonglah buat sebab kami sudah tidak berdaya, setiap 30 hari ayam keluar dari ladang maka seminggu kami berpesta dengan lalat, itulah yang kami hadapi hari-hari," ujarnya kepada Sinar Harian.

Emiliah Miskun
Emiliah Miskun

Seorang lagi penduduk, Nasarudin Ngadio, 45, berkata, penduduk bimbang jumlah lalat yang terlalu banyak mengundang risiko kepada kesihatan penduduk terutamanya golongan kanak-kanak dan bayi.

Artikel Berkaitan:

Menurut Nasarudin, penduduk buntu menghadapi masalah itu dan berharap semua pihak khususnya pihak berkuasa tempatan dapat segera membantu menyelesaikan masalah dialami penduduk.

"Wakil rakyat, Ahli Majlis sudah datang membantu tetapi kesannya belum nampak lagi jadi kita harap badan berwajib dapat menangani masalah lalat berpunca dari reban ayam ini dengan segera," ujarnya.

Nasarudin Ngadio
Nasarudin Ngadio

Sementara itu, Ketua Kampung Ladang Batu, Saluah Mundagir, 44, berkata, perkara itu sudah dibawa kepada Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) untuk tindakan lanjut malah telah menjalankan pemeriksaan di ladang ayam terbabit.

"Kita tidak menghalang penternak mengeluarkan ayam, tetapi kita berharap pemilik ladang mematuhi SOP pengurusan ayam dengan cara betul.

Timbunan lalat yang berjaya dikumpul dari sebuah ladang ternakan terbabit. (Gambar kanan, Keadaan di salah sebuah rumah penduduk.)
Timbunan lalat yang berjaya dikumpul dari sebuah ladang ternakan terbabit. (Gambar kanan, Keadaan di salah sebuah rumah penduduk.)

"Harap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan terhadap ladang ayam bermasalah sekali gus dapat menyelesaikan isu lalat membelenggu penduduk di Kampung Ladang Batu," ujarnya.

Tambahnya, sebanyak 10 ladang ternakan ayam terdapat di kampung berkenaan manakala seramai 435 penduduk tinggal di kawasan itu berisiko terdedah kepada pelbagai penyakit sejak hampir lima tahun lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!