Dua laluan di Genting Highlands masih ditutup, dikawal 24 jam

Kerja-kerja pembersihan tanah runtuh masih dijalankan. Foto Polis Bentong
Kerja-kerja pembersihan tanah runtuh masih dijalankan. Foto Polis Bentong
A
A
A

BENTONG - Jalan ke Amber Court dan Ion D'element, Genting Highlands yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh awal pagi Jumaat lalu masih ditutup kepada lalu lintas dari jam 7 petang hingga 7 pagi.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, langkah itu diambil susulan cuaca hujan dan keadaan di lokasi yang berkabus tebal selepas jam 5 petang kebelakangan ini.

Menurutnya, keadaan itu agak berbahaya sekiranya ada kenderaan bergerak pada waktu berkenaan.

"Buat masa ini laluan berkenaan saya arahkan tutup dari jam 7 malam hingga 7 pagi dan dikawal pihak berkuasa 24 jam.

"Sekira ada kecemasan kita akan benarkan laluan itu digunakan dalam tempoh berkenaan," katanya.

Zaiham berkata, jalan yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh itu bukan laluan utama untuk naik ke Genting Highlands.

"Pelancong yang hendak ke Genting Highlands Premium Outlets dan Hotel First World dan Skyworld sama sekali tidak terjejas kerana tidak melalui jalan itu," katanya.

Beliau berkata, buat masa ini pihak berkuasa, Polis Genting Highlands dan Polis Bantuan Genting Highlands masih mengawal pintu masuk utama ke arah lokasi berkenaan atas faktor keselamatan.

Artikel Berkaitan:

Dalam kejadian tanah runtuh awal pagi Jumaat lalu, laluan terbabit terhalang dan tidak dapat dilalui di kedua-dua arah.

Kejadian yang dilaporkan kira-kira jam 2.47 pagi itu bagaimanapun tidak melibatkan kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!