667 kilogram minyak masak disita, peniaga jual lebih harga

TELUK INTAN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menyita 667 kilogram (kg) minyak masak jenis botol dalam serbuan di sebuah pasar mini di sini pada Sabtu.
Operasi dilakukan sekitar jam 2.30 petang oleh penguat kuasa KPDN Cawangan Teluk Intan hasil aduan orang ramai yang tidak berpuas hati terhadap tindakan peniaga menjual minyak masak melebihi harga kawalan.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, pemeriksaan mendapati peniaga menawarkan jualan barangan harga terkawal iaitu minyak masak jenama Saji jenis botol 1 kg pada harga RM7.40 dan 5 kg dengan harga RM31.

Menurutnya, tawaran sama turut diberikan bagi minyak masak jenama Seri Murni botol 5 kg dengan harga RM31, jenama Kuali (RM31.70) dan jenama Buruh jenis botol 1 kg (RM7.50).
"Harga yang ditawarkan ini adalah melebihi harga maksimum runcit minyak masak tulen kemasan botol yang ditentukan oleh Pengawal di bawah Perintah Kawalan Harga dan AntiPencatutan (Penentuan Harga Maksimum) 2023.
"Harga yang sepatutnya adalah RM6.90 bagi jenis botol 1 kg dan RM30.90 bagi jenis botol 5 kg," katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.
Beliau berkata, berdasarkan maklumat diberikan, peniaga telah pun menjual 126 unit minyak masak botol 5 kg dan 37 lagi botol 1 kg kepada pelanggan dengan harga tinggi tersebut.

Katanya, tindakan sita dilakukan ke atas 667 kg minyak masak dianggarkan bernilai RM4,148.70 untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kawalah Harga dan Antipencatutan 2011.
"KPDN tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati mengambil kesempatan mengaut keuntungan berlebihan dengan menjual barang kawalan melebihi harga yang ditetapkan.
"Kita juga akan memastikan tindakan lebih tegas dilakukan termasuklah pendakwaan di mahkamah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

