Remaja perempuan hilang sejak Khamis dijumpai di Ampang

Noor Amni ditemui selamat dengan seorang rakannya di sebuah masjid di Ampang, awal pagi Ahad.
Noor Amni ditemui selamat dengan seorang rakannya di sebuah masjid di Ampang, awal pagi Ahad.
A
A
A

SEPANG - Remaja perempuan berusia 14 tahun yang dilaporkan hilang sejak Khamis lalu, dijumpai selamat di Ampang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintenden Shan Gopal Krishnan berkata, laporan kehilangan pelajar Tingkatan Dua dikenali Noor Amni Nazaranee dibuat oleh ibunya pada jam 1.40 pagi Jumaat.

Jelasnya, ibu mangsa mendakwa anaknya itu telah keluar dari rumah di Taman Bandar Bukit Puchong, Sepang kira-kira jam 5 petang Khamis.

"Hasil maklumat orang awam, remaja itu telah dijumpai semula dalam keadaan selamat oleh pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang kira-kira jam 3.05 pagi Ahad di sebuah masjid di kawasan Ampang, Selangor.

"Tiada apa-apa kejadian jenayah berlaku dan sepanjang kehilangannya, remaja itu berada di kawasan Shah Alam, Cheras dan terakhir di Ampang bersama seorang rakan perempuan yang juga berusia 14 tahun dari sekolah yang sama," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, rakan kanak-kanak itu juga merupakan kes orang hilang (OH) bagi kes IPD Subang Jaya.

Tambah Shan Gopal, kanak-kanak terbabit telah diserahkan kepada ibu bapanya.

"Pihak IPD Sepang mengucapkan terima kasih atas segala kerjasama dan perkongsian maklumat yang disalurkan sehingga membawa kepada penemuan kanak-kanak terbabit," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!