TH nafi zalimi bakal haji

SHAH ALAM - Lembaga Tabung Haji (TH) menafikan sekeras-kerasnya tuduhan menzalimi bakal haji melalui tawaran haji musim 2025/1446H.
TH dalam satu kenyataan berkata, tuduhan di media sosial adalah tidak benar sama sekali kerana ia telah menerima dan mengkategorikan semula lebih 700 golongan M40 seperti suri rumah, pelajar serta warga emas kepada golongan B40 setelah menerima rayuan berserta bukti mereka daripada golongan tersebut.
“Untuk makluman, sejak 2022, TH menyemak silang maklumat bakal haji dengan agensi kerajaan bagi menentukan kategori bakal jemaah B40, M40 dan T20.
“Bakal jemaah yang menerima sumbangan program bantuan kerajaan seperti Sumbangan Tunai Rahmah adalah termasuk dalam kumpulan B40. Bagi mereka yang mempunyai pendapatan individu melebihi RM15,000 sebulan adalah termasuk kumpulan T20,” katanya pada Sabtu.
Sebelum ini, tular satu tuduhan yang mengatakan pihak TH menzalimi bakal haji berkaitan permohonan rayuan kategori tawaran.
Dalam pada itu, TH menjelaskan bakal jemaah yang tidak termasuk kategori B40 dan T20 adalah dikategorikan sebagai M40.
“TH telah dan masih menerima permohonan rayuan menukar kategori tawaran.
“Kami memandang serius tuduhan tidak benar yang memburukkan reputasi dan menimbulkan keresahan dalam kalangan umat Islam serta tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang sewajarnya,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!