Misi bawa keluar keputusan positif dari Selayang

KEDAH Darul Aman FC memberikan tumpuan kepada memperkukuhkan dan mempertajamkan jentera pertahanan serta serangan apabila membuka gelanggang separuh akhir pertama Piala Cabaran menentang PDRM FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.
Pengendali sementara skuad Kenari, Victor Andrag percaya pengukuhan dua bahagian itu penting dalam misi meraih keputusan positif berdepan The Cops bimbingan P Maniam yang dibarisi pemain berpengalaman.
“Dalam situasi pasukan ketika ini setiap pemain perlu memainkan peranan, bukan hanya empat pemain pertahanan sahaja.
"Pasukan perlu bertindak lebih berkesan sebagai satu unit, terutama apabila kita kehilangan bola kepada pasukan lawan.
"Saya percaya pemain sudah bersedia melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin dalam perlawanan ini,” katanya.
Sebagai rekod anak buah Victor berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dalam lima perlawanan terakhir semua pertandingan dengan kemenangan 1-0 ke atas Kelantan Darul Naim dalam aksi Liga Super di Alor Setar baru-baru ini.
Menjelang pertembungan di Selayang itu,
Victor juga mengakui kelab utara tanah air berkenaan menghadapi cabaran besar apabila kecederaan pemain menjejaskan perancangan pasukan.
Biarpun begitu bekas pemain pertahanan skuad Hijau Kuning tersebut percaya kepada keupayaan dalam kalangan bakat tempatan untuk memberikan persembahan terbaik.
“Kami tahu cabaran yang menanti tetapi kami akan berusaha sebaik mungkin untuk membawa pulang keputusan positif. Apa yang penting, kami tidak boleh dibolosi.
“Kami telah merancang strategi khusus untuk perlawanan ini, tetapi ia bergantung kepada situasi di padang nanti. Apa yang penting, adalah diharapkan semua pemain bersedia memberikan aksi terbaik masing-masing,” katanya.
Sebagai rekod anak buah Viktor akan berdepan kembali skuad kendalian Maniam dalam perlawanan timbal balik kedua di Stadium Darul Aman, Alor Setar, pada 1 Februari depan.
Ditanya mengenai The Cops, Viktor berkata: "PDRM FC sebagai pasukan yang sangat komited, terutama dengan kebergantungan sepenuhnya kepada pemain tempatan yang menunjukkan semangat juang tinggi di padang ditambah peranan pemain import mereka.
"Aspek kecergasan pula mereka lebih konsisten apabila kerap bermain sebagai satu unit yang kukuh."
PIALA CABARAN
Separuh Akhir Pertama
SABTU (18 JANUARI)
PDRM FC lwn Kedah Darul Aman
(Stdm Majlis Perbandaran Selayang, 9 malam)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!