Selangor selangkah ke pentas final Piala Cabaran

SELANGOR FC selangkah ke perlawanan akhir Piala Cabaran selepas menewaskan Penang FC, 1-0 dalam perlawanan separuh akhir pertama yang berlangsung di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada Ahad.
Jaringan sendiri pemain pertahanan Rafael Vitor Santos de Freitas minit ke-35 membolehkan The Red Giants membawa bekalan satu gol menjelang aksi timbal balik kedua di gelanggang sendiri.
Selangor dikemudi Safuwan Baharudin masih segar kemenangan Derbi Lembah Klang ke atas Kuala Lumpur City mempertaruhkan Ronnie Fernandez dan Muhammad Aliff Izwan Yuslan.
Wan Rohaimi Wan Ismail pengendali Penang pula mempertaruhkan kudrat Dylan Wenzel-Halls dan Rodrigo Dias untuk memburu keputusan positif sebagai bekalan timbal balik kedua.
Jentera serangan kedua-dua pasukan berjaya mencipta peluang, namun dinafikan ketumpulan penyudah selain kecekapan benteng terakhir Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi serta Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman.
Selangor dan Penang akan kembali bertarung untuk perlawanan timbal balik kedua yang dijadualkan berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Shah Alam pada 2 Februari depan.
PIALA CABARAN
SEPARUH AKHIR PERTAMA
Penang FC 0-1 Selangor FC
PIALA CABARAN
SEPARUH AKHIR KEDUA
1 FEBRUARI (SABTU)
Kedah Darul Aman (3) lwn (3) PDRM
(Stdm Darul Aman, Alor Setar, 9 malam)
2 FEBRUARI (AHAD)
Selangor FC (1) lwn (0) Penang FC
(Stdm Majlis Bandaraya Petaling Jaya, 9 malam)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!