Dua beregu lelaki iringi tiga wakil negara ke separuh akhir Terbuka India

DUA beregu lelaki negara menceriakan peminat badminton Malaysia apabila bergaya melangkah ke separuh akhir Terbuka India sebentar tadi.
Aaron Chia-Soh Wooi Yik, menewaskan wakil Thailand, Kittinipung Kedren-Dechapol Puavaranukroh dalam aksi suku akhir.
Turun selaku pilihan kelima, mereka bermula perlahan dan ketinggalan pada awal set pertama, namun mula mengejar untuk mencatatkan kemenangan 21-18.
Momentum positif kemudian diteruskan pada permainan kedua sebelum mengesahkan kemaraan 21-18 selepas bertarung selama 39 minit.
Menanti mereka ialah pemenang di antara beregu Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seungjae, dan gandingan pilihan kedua dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang bagi penentuan ke final pada Sabtu.
Dalam pada itu, beregu campuran profesional negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei turut tidak mahu ketinggalan untuk berada dalam kelompok empat terbaik kejohanan berstatus Super 750 itu.
Pasangan nombor dua dunia itu menumpaskan gandingan Taiwan, Fang Chih Lee-Fang Jen Lee 21-11, 21-17 dalam masa 33 minit permainan.
Terdahulu tiga wakil negara sudah mengesahkan slot ke separuh akhir termasuk pasangan suami isteri, Goh Soon Huat dan Shevon Lai.
Turut mara ialah beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah dan satu lagi beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!