Rifdean tekad tumbangkan Nadaka di Tokyo

Rifdean (dua dari kanan) bakal berdepan Nadaka (dua dari kiri) yang hadir dengan 42 kemenangan berturut-turut pada acara ONE SAMURAI 4 di Ariake Arena, Tokyo pada Sabtu ini.
Rifdean (dua dari kanan) bakal berdepan Nadaka (dua dari kiri) yang hadir dengan 42 kemenangan berturut-turut pada acara ONE SAMURAI 4 di Ariake Arena, Tokyo pada Sabtu ini.
A
A
A

PETARUNG Muay Thai negara, Rifdean Masdor berpeluang mencipta sejarah sebagai rakyat Malaysia pertama menjuarai kategori atomweight ONE Championship jika berjaya menumbangkan juara bertahan dari Jepun, Nadaka Yoshinori di Tokyo, Sabtu ini.

Rifdean, 23, bakal berdepan Nadaka, 25, yang hadir dengan 42 kemenangan berturut-turut pada acara ONE SAMURAI 4 di Ariake Arena.

Nadaka merangkul gelaran dunia atomweight selepas menewaskan petarung Thailand, Numsurin Chor Ketwina menerusi keputusan sebulat suara pada November lalu.

Bagaimanapun, Rifdean tidak gentar berdepan lawan yang belum tewas itu, malah menjalani latihan tiga kali sehari bagi memastikan persiapannya berada pada tahap terbaik.

“Nadaka petarung terbaik di dunia tetapi dia juga manusia. Bagi saya, tiada yang mustahil dan saya tidak takut dengan ancamannya.

“Saya berlatih tiga kali sehari untuk pertarungan ini dan akan memberikan persembahan terbaik pada Sabtu nanti.

“Selepas ini, semua orang akan ingat nama saya kerana saya akan menjadi orang pertama yang mengalahkan petarung anda,” katanya.

Rifdean yang mencatat tujuh kemenangan dan satu kekalahan di ONE Championship turut mendapat perhatian Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) organisasi itu, Chatri Sityodtong.

Chatri menyifatkan kuasa tumbukan Rifdean sebagai ancaman yang mampu mengubah keputusan pertarungan jika Nadaka gagal mengawal asakan petarung negara itu.

Artikel Berkaitan:

“Rifdean memiliki kuasa tumbukan yang mampu menghasilkan kemenangan menerusi satu tumbukan. Dia sangat berbahaya dan jika Nadaka tidak berwaspada atau gagal menyerap asakannya, kita mungkin menyaksikan kejutan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!