McDonald’s sumbang RM50,000 suntik pembangunan sepak takraw negara

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar (tiga, kiri) dan Presiden Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan (tengah) bergambar bersama para atlet sepak takraw dan jurulatih sempena Majlis Penyerahan Sumbangan Pembangunan Sepak Takraw Malaysia di McDonald's Titiwangsa DT. Foto: Bernama
Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar (tiga, kiri) dan Presiden Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan (tengah) bergambar bersama para atlet sepak takraw dan jurulatih sempena Majlis Penyerahan Sumbangan Pembangunan Sepak Takraw Malaysia di McDonald's Titiwangsa DT. Foto: Bernama
A
A
A

MCDONALD'S Malaysia menyalurkan sumbangan RM50,000 kepada Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) bagi menyokong pembangunan sukan sepak takraw negara susulan kejayaan skuad kebangsaan meraih pingat emas pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, baru-baru ini.

Sumbangan itu disampaikan Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar kepada Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan pada Selasa.

Penyerahan tersebut menunaikan janji McDonald’s Malaysia sebelum skuad negara berangkat ke temasya berkenaan untuk menyumbang kepada pembangunan sepak takraw sekiranya Malaysia berjaya meraih pingat emas.

Azmir berkata, kejayaan itu bukan sahaja mengharumkan nama negara malah menjadi sumber inspirasi kepada generasi muda untuk mengejar impian dalam bidang sukan.

“Seluruh skuad telah memberikan rakyat Malaysia satu detik yang amat membanggakan. Di sebalik pencapaian ini ada bertahun-tahun latihan, pengorbanan dan semangat berpasukan, serta sokongan keluarga, jurulatih dan pengurusan yang sentiasa bersama mereka.

“Kami berbesar hati menunaikan janji ini dan berharap sumbangan tersebut dapat membantu PSM membimbing lebih ramai bakat muda untuk melangkah lebih jauh dalam sukan sepak takraw,” katanya pada Majlis Penyerahan Sumbangan Pembangunan Sepak Takraw Malaysia di McDonald's Pandu Lalu Titiwangsa.

Skuad kendalian ketua jurulatih Ahmad Jais Baharun mencipta kejayaan membanggakan apabila menewaskan Thailand 2-0 dalam final acara regu berpasukan lelaki sekali gus menamatkan penantian 36 tahun negara untuk meraih emas dalam acara berkenaan.

Selain emas dalam acara regu berpasukan lelaki, skuad negara turut membawa pulang pingat perak menerusi acara regu lelaki.

Dalam pada itu, Azmir turut menegaskan komitmen mereka untuk pembangunan sukan sepak takraw dengan menganjurkan Liga Takraw Nasional Mekdi 2026 memberi peluang kepada pemain berusia 16 tahun ke bawah menimba pengalaman beraksi di peringkat nasional selain menjadi platform mencungkil dan mengembangkan bakat muda dalam sukan warisan negara.

Artikel Berkaitan:

Beliau berharap kejayaan skuad kebangsaan dapat menyuntik semangat kepada peserta liga untuk memasang impian mewakili negara pada masa hadapan.

"Kejayaan luar biasa skuad takraw negara ketika ini menjadi bukti jelas bahawa tiada apa yang mustahil, sekali gus membuka ruang buat generasi muda untuk mengimpikan kejayaan di pentas tertinggi.

"Kami amat berharap agar barisan pemain kebangsaan dapat turun padang untuk berkongsi pengalaman, membimbing, dan memberi dorongan moral kepada para peserta Liga Takraw Nasional Mekdi 2026.

"Kehadiran dan sokongan padu wira negara ini pastinya menyemarakkan lagi semangat adik-adik kita yang memasang impian untuk menyarung jersi keramat skuad kebangsaan suatu hari nanti," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!