Hari pertama di Dang Wangi diduga kes tanah mendap

KUALA LUMPUR - Ditugaskan sebagai Ketua Polis Daerah (KPD) Muallim, Perak ketika ancaman wabak Covid-19 mula melanda negara memberi satu pengalaman tidak boleh dilupakan buat Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman.
Sulizmie yang ketika itu berpangkat Superintenden dilantik sebagai KPD Muallim pada 26 Mac 2020 iaitu sembilan hari selepas pengumuman pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Berkongsikan pengalaman itu, Sulizmie yang sekarang merupakan KPD Dang Wangi menceritakan mengenai hari pertama beliau melapor tugas sebagai KPD Muallim di pejabat Ketua Polis Perak ketika itu.
Menurut Sulizmie, beliau segera membuat lawatan ke lokasi sekatan jalan raya (SJR) di sekitar daerah Muallim sejurus menerima amanat daripada Ketua Polis Perak.
“Negara berdepan ancaman virus baharu masa itu dan cabaran polis ialah perlu menguruskan masyarakat untuk kekal berada di rumah, ia bukan suatu tugas yang mudah.

“Pada masa sama, kita perlu memastikan arahan dan prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan kerajaan dipatuhi selain penguatkuasaan termasuklah kompaun, SJR dan sebagainya,” katanya kepada Sinar Harian di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, baru-baru ini.
Selain itu, beliau memberitahu, pada tahun yang sama bulan Ogos ketika Covid-19 belum reda, Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim di bawah pentadbiran IPD Muallim perlu melaksanakan pilihan raya kecil (PRK) selepas penyandangnya meninggal dunia.

Katanya, DUN Slim merupakan PRK kedua pada waktu PKP selepas DUN Chini yang melibatkan penugasan dari IPD Pekan di Pahang.
“Ini cabaran saya untuk menguruskan PRK DUN Slim. Bayangkan suasana yang tidak dibenarkan berhimpun tetapi memerlukan PRK.
“Saya bersama beberapa pegawai IPD Muallim telah berjumpa KPD Pekan bagi mendapatkan nasihat dan membincangkan bagaimana beliau menguruskan PRK dalam tempoh PKP.
“Selepas berbincang, saya telah berjumpa dengan Ketua Polis Perak dan membentangkan perancangan serta cadangan bagi menghadapi PRK DUN Slim,” ujarnya.

Menceritakan cabaran awal PKP ketika musim perayaan, kata beliau, pihaknya menerima pelbagai alasan daripada masyarakat yang hendak melepasi SJR bagi tujuan rentas daerah dan negeri.
“Ada yang sanggup ikut laluan tanah merah, kebun kelapa sawit dan lebih jauh untuk rentas negeri.
“Ada juga yang cuba nasib biar pun tiada surat kebenaran polis,” katanya.
Tanah jerlus di Jalan Masjid India
Selain isu Covid-19, Sulizmie turut berkongsi pengalaman ketika mengendalikan kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur.
Menurut anak jati Gombak, Selangor itu, kejadian berkenaan berlaku pada hari pertama pelantikannya sebagai KPD Dang Wangi pada 23 Ogos tahun lepas.
“Selepas majlis serah terima tugas, saya dimaklumkan oleh Ketua Polis Balai Dang Wangi (Inspektor Mohd Shaiful Zulkifli) yang mengatakan ada kejadian tanah mendap di Jalan Masjid India.
“Memang tidak sempat berkenalan dengan pegawai-pegawai saya masa itu.
“Selepas solat Jumaat hari itu, saya pergi ke lokasi dan lihat kerja operasi sedang berlangsung, namun sehingga lewat petang mangsa masih belum dijumpai.
“Dalam masa sama, saya dan pegawai saya terus mendapatkan keterangan lebih lanjut daripada anak mangsa, saksi-saksi yang melihat kejadian serta individu yang terselamat dalam insiden itu.
“Setelah beberapa jam dan mangsa masih belum dijumpai, saya mengambil keputusan untuk mendirikan khemah Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) sebagai pusat maklumat serta bagi mengkoordinasikan dan menyelaras tindakan bersama agensi lain yang terlibat dalam tugasan mencari dan menyelamat (SAR) ini,” katanya.

Tambah beliau, selain mencari mangsa, polis juga perlu menenangkan keluarga mangsa di samping keselamatan petugas SAR itu sendiri.
“Pasukan bomba perlu melalui lurang kumbahan dari lokasi pertama ke lokasi yang lain dengan keadaan arus air sangat deras dan saluran kumbahan yang gelap termasuk ancaman gas berbahaya.
“Inilah cerita di Masjid India. Biar pun kita berdepan cabaran sepanjang operasi ini tetapi di sinilah saya mengenali dan bekerjasama dengan pihak dan pegawai tinggi agensi lain seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Angkatan Pertahanan Awam,” katanya.
Tambah beliau, selepas sembilan hari, operasi mencari mangsa iaitu wanita dikenali Vijaya Laksmi Goli, 48, dari India terpaksa dihentikan atas faktor keselamatan kepada petugas penyelamat.
“Apa pun saya bersyukur kerana operasi ini mendapat kerjasama baik daripada semua agensi.
“Walaupun mangsa tidak dijumpai, kita sudah berusaha dengan sebaik mungkin kerana komitmen yang ditunjukkan semua agensi terlibat sangat tinggi biar pun kita penat bekerja siang dan malam,” katanya.
Dalam perkara yang lain, beliau memaklumkan, sebanyak 37 kedutaan serta suruhanjaya tinggi seperti Indonesia, Singapura dan Australia berada di bawah pentadbiran IPD Dang Wangi.
Pemantauan di premis ini dilakukan oleh Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) selain pegawai pemantau setiap hari serta terdapat pos Pasukan Gerakan Am (PGA).
“Antara lokasi ikonik lain di bawah Dang Wangi ialah menara Merdeka 118, Menara Kuala Lumpur, Menara Kembar Petronas, Masjid Negara serta Dataran Merdeka.
“Kita memantau apa sahaja program yang dilangsungkan di lokasi seperti ini termasuk kawasan tumpuan orang ramai seperti Jalan Petaling, pusat beli-belah Sogo dan Bukit Bintang,” ujarnya.
Sulizmie menyeru masyarakat untuk menjadi mata dan telinga kepada pihak polis bagi bersama mencegah jenayah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!