Zaidatul gembira rekod diiktiraf

PELARI pecut negara, Zaidatul Husniah Zulkifli meluahkan rasa syukur di atas pengiktirafan rekod kebangsaan bagi acara 100 meter (m) wanita iaitu 11.49 saat (s) yang dilakar pada Kejohanan Olahraga Terbuka Perlis, Oktober tahun lalu.
Catatan tersebut diiktiraf oleh Olahraga Dunia (WA) melalui makluman rasmi Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) menerusi catatan di Facebook pada Khamis.
Pengiktirafan tersebut sekali gus membolehkan atlet berusia 32 tahun itu sebagai pelari paling pantas bagi acara riben biru di Malaysia.
Keputusan berkenaan juga memadam kerisauan Zaidatul yang pernah membaharui rekod dalam acara sama di Afrika Selatan lapan tahun lalu, namun ia tidak diiktiraf.
“Alhamdulillah sudah tentu saya berasa gembira dengan berita ini. Sudah sekian lama saya tunggu detik ini.
“Saya pernah pecah rekod ini di Afrika Selatan, tapi tidak diiktiraf. Jadi apabila perkara sama berlaku saya berasa risau ia kembali berulang (tidak diiktiraf). Terima kasih kepada WA berjaya selesaikan isi ini secepat mungkin,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.
KOM memaklumkan rekod emas dilakar Zaidatul dalam acara 100m wanita dengan catatan 11.49s dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Perlis Cahya Mata Sarawak Super Series V diiktiraf oleh WA.
Atlet yang berasal dari Alor Setar, Kedah itu pada 2017 membuat catatan 11.36s pada Kejohanan Olahraga AGN League 7 di Pretoria, Afrika Selatan, namun tidak diiktiraf kerana dikatakan mendapat bantuan angin sebanyak 2.5s.
Sebelum ini, rekod terpantas dipegang G Shanti dengan catatan masa 11.50s yang dilakukan di Kuala Lumpur pada 7 Mei 1993 yang bertahan selama 32 tahun sebelum ia lebur di tangan Zaidatul.
Beliau juga menyifatkan isu itu sebagai satu pengalaman berharga selain melonjakkan semangatnya untuk terus mengharumkan nama negara di peta dunia.
“Perkara ini mematangkan saya bagaimana untuk lebih bersabar dalam setiap situasi yang berlaku.
“Saya juga akan bekerja lebih keras untuk mencipta lebih banyak kejayaan pada pertandingan akan datang,” katanya.
Misi Zaidatul selepas ini adalah untuk melayakkan diri ke kejohanan antarabangsa iaitu Kejuaraan Olahraga Asia di Korea dan Sukan SEA di Thailand.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
