Penetapan BMI kurang tepat

Laporan Sinar Harian berhubung syarat tambahan kepada pegawai serta anggota polis yang perlu memastikan mereka mempunyai BMI kurang daripada 28 untuk kenaikan pangkat.
Laporan Sinar Harian berhubung syarat tambahan kepada pegawai serta anggota polis yang perlu memastikan mereka mempunyai BMI kurang daripada 28 untuk kenaikan pangkat.
A
A
A

SHAH ALAM - Penetapan indeks jisim badan (BMI) kurang daripada 28 untuk melayakkan pegawai serta anggota polis dinaikkan pangkat merupakan penanda aras yang kurang tepat bagi menggambarkan tahap kesihatan keseluruhan.

Pakar dan Pensyarah Perubatan Fakulti Perubatan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Malini Mat Napes berkata, ini kerana BMI hanya mengukur nisbah berat badan terhadap ketinggian dan tidak mengambil kira komposisi badan seperti lemak serta otot.

“Sebagai contoh, seseorang yang berotot mungkin mempunyai BMI yang tinggi tetapi tetap berada dalam tahap kesihatan yang baik.

“Bagaimanapun dalam konteks pekerjaan seperti pasukan polis, untuk memastikan anggota berada dalam julat BMI yang sihat adalah relevan,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Sebelum ini, pegawai serta anggota polis perlu memastikan mereka mempunyai BMI kurang daripada 28 untuk melayakkan diri dinaikkan pangkat.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, BMI itu merupakan syarat tambahan ditetapkan pada masa kini dalam pemberian pemangkuan dan kenaikan pangkat.

Dalam isu keadilan Dr Malini berkata, penting untuk diingatkan bahawa faktor-faktor lain seperti genetik, usia, dan keadaan kesihatan tertentu boleh mempengaruhi BMI seseorang.

“Terdapat individu yang mungkin berusaha keras untuk mengekalkan gaya hidup sihat tetapi tetap berada dalam julat BMI yang tinggi disebabkan faktor yang tidak dapat mereka kawal.

Artikel Berkaitan:

“Oleh itu, jika dasar ini diterapkan tanpa mempertimbangkan faktor-faktor tersebut, ia mungkin dirasakan kurang adil oleh sesetengah pihak,” ujarnya.

Jelasnya lagi, selain BMI aspek lain seperti kadar lemak badan, kecergasan kardiovaskular, kekuatan fizikal dan penilaian kesihatan keseluruhan juga perlu diambil kira.

Ujarnya, pemeriksaan perubatan tahunan yang lebih komprehensif boleh dijadikan asas untuk menilai kesesuaian individu bagi kenaikan pangkat.

“Jika BMI hendak dijadikan salah satu syarat, pihak pengurusan perlu menyediakan program sokongan seperti bimbingan pemakanan, latihan kecergasan dan kaunseling kesihatan untuk membantu anggota mencapai BMI yang disasarkan.

“Pendekatan ini lebih inklusif dan menyokong kesejahteraan anggota secara menyeluruh. Dalam membuat keputusan kenaikan pangkat, prestasi kerja, kepakaran dan sumbangan anggota dalam tugas mereka harus diberi penekanan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!