Cadang RM6 juta kerana Ahmad Zahid

Chew Ben Ben
Chew Ben Ben
A
A
A

KUALA LUMPUR – Timbalan Pengarah Urusan Datasonic Group Bhd (DGB), Chew Ben Ben memberitahu Mahkamah Tinggi di sini semalam bahawa jika tidak kerana Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjawat Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri pada 2017, saksi ke-34 itu tidak akan mencadangkan wang politik sebanyak RM6 juta diberi kepada Barisan Nasional (BN).

Ben Ben berkata, beliau pernah mencadangkan supaya pemilik Sarana Kencara Sdn Bhd (SKSB), Datuk Abu Hanifah Noordin menyalurkan sumbangan politik bagi tujuan jangka masa panjang.

Ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Gan Peng Kun, Ben Ben yang juga Penasihat Korporat SKSB dan Penasihat Kewangan Abu Hanifah berkata, Ahmad Zahid pernah menyatakan pilihan raya umum semakin hampir.

“Pada masa itu, saya dapat agak BN memerlukan wang untuk tujuan pilihan raya.

“Saya tanya pada Datuk Seri Ahmad Zahid, sama ada kami boleh menyalurkan wang sumbangan dan berapa banyak diperlukan,” katanya.

Bagaimanapun, ketika soal balas oleh Peguam, Datuk Ahmad Zaidi Zainal yang mewakili Ahmad Zahid, saksi tersebut menafikan sumbangan itu merupakan rasuah.

Ahmad Zaidi: Menerusi pernyataan saksi yang encik sediakan, saya dapat agak maksud ‘BN memerlukan wang untuk tujuan pilihan raya’ merupakan andaian peribadi encik sendiri, bukan diberitahu oleh Ahmad Zahid.

Ben Ben: Betul, ia andaian saya.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Zaidi: Ahmad Zahid tidak pernah kata BN perlukan dana politik

Ben Ben: Tidak pernah

Saksi pendakwaan ke-34, Ben Ben, 63, memberi keterangan pada hari ke-16 perbicaraan kes terhadap Ahmad Zahid yang berdepan 47 pertuduhan membabitkan dana Yayasan Akalbudi berjumlah jutaan ringgit dan rasuah berhubung pemberian kontrak pembekalan cip pasport kepada beberapa syarikat.

Dalam salah satu pertuduhan rasuah, Ahmad Zahid pada 27 April 2017 lalu, dituduh menerima dua cek daripada Ben Ben berjumlah RM 6 juta.

Ia didakwa dilakukan supaya DTSB dilantik untuk melaksanakan perolehan penambahan pembekalan 12.5 juta cip pasport selama lima tahun.

Perbicaraan dijalankan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.