JDT sebelah kaki ke pentas final Piala Malaysia

PENYANDANG juara Johor Darul Ta’zim (JDT) kini sebelah kaki ke perlawanan akhir Piala Malaysia yang dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Ia selepas kuasa bola sepak dari selatan tanah air itu meraih kemenangan bergaya 4-0 ke atas Terengganu FC dalam aksi separuh akhir pertama di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak pada Jumaat.
Harimau Selatan kendalian Hector Bidoglio dikemudi kapten pasukan Matthew Davies menampilkan penjaring terbanyak Bergson da Silva memulakan pesta gol menerusi Romel Morales pada minit ke-17.

Gol Morales yang disaksikan 11,250 penonton itu kekal untuk 45 minit awal bagi membolehkan Harimau Selatan memimpin separuh masa pertama dengan kedudukan 1-0.
Separuh masa kedua, anak buah Bidoglio terus meningkatkan tekanan ke atas skuad Penyu yang diketuai Manuel Ott terutama bahagian pertahanan bimbingan Badrul Afzan Razali bagi melebarkan jaringan.
Hasilnya, Arif Aiman Hanapi mempamerkan kualiti sebenarnya apabila meledak dua gol masing-masing minit ke-79 dan minit ke-85.

Bergson kemudian tampil meledak gol keempat pasukan pelawat pada minit ke-93 seterusnya gol keenam peribadi kempen 2024.
Gol Bergson sekali gus menyaksikan JDT membawa bekalan selesa menjelang aksi timbal balik kedua di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 1 Februari depan.
INFO
Senarai Penjaring Terbanyak Piala Malaysia
1.ENAM GOL: Bergson da Silva (JDT)
2. EMPAT GOL: Heberty Fernandes (JDT), Manuel Hidalgo (Sri Pahang)
3.TIGA GOL: A Selvan (Negeri Sembilan), Akhyar Rashid (Terengganu), Safawi Rasid (Terengganu), Arif Aiman Hanapi (JDT)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!