Pahang idam pentas final Piala Malaysia

Kpah Sherman dijangka antara sandaran Pahang untuk membawa pulang keputusan positif dari Likas. Foto FB Sri Pahang
Kpah Sherman dijangka antara sandaran Pahang untuk membawa pulang keputusan positif dari Likas. Foto FB Sri Pahang
A
A
A

KETUA Pegawai Eksekutif Sri Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang mencabar pemain Tok Gajah untuk menamatkan kemarau lebih 10 tahun beraksi di pentas final Piala Malaysia apabila berdepan Sabah FC dalam perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Likas pada Sabtu.

Malah tegas Mohammed Suffian, keputusan positif perlu diraih barisan skuad kendalian Fandi Ahmad itu sebagai bekalan untuk timbal balik kedua di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh pada 2 Februari depan.

“Sesungguhnya pasukan Pahang sudah begitu lama tidak berada di pentas perlawanan akhir Piala Malaysia yang kali terakhir dimenangi pada 2014, jadi ini merupakan peluang terbaik untuk pemain membuktikan sesuatu kepada pengurusan terutamanya penyokong Tok Gajah.

“Saya berharap pemain Pahang dapat menjelmakan hasrat ini dalam bentuk realiti kerana sememangnya menjadi idaman untuk penyokong Tok Gajah kembali bersama pasukan kesayangan mereka beraksi di Bukit Jalil,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Sebagai rekod, kali terakhir skuad Tok Gajah bermain di pentas final Piala Malaysia adalah pada edisi 2014 dengan mengalahkan Johor Darul Ta’zim (JDT) menerusi penentuan sepakan penalti 5-3 selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Mengenai kekuatan kedua-dua pasukan, Mohammed Suffian menyifatkan kekuatan Pahang dan Sabah seimbang apabila memiliki pemain tempatan dan import yang berkualiti di setiap bahagian masing-masing.

“Kita tewas tipis kepada Sabah dalam aksi liga di Temerloh pada Ogos lalu, jadi saya percaya pemain sudah memperolehi pengalaman dalam perlawanan tersebut, agar tidak memandang rendah keupayaan pasukan lawan.

“Saya juga berharap untuk perlawanan ini pemain dapat mengekalkan tahap disiplin tinggi berpasukan selain memberikan sepenuh tumpuan dalam misi membawa keputusan positif dari Likas,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!