Kes buang pekerja catat jumlah tertinggi diselesaikan di Mahkamah Perusahaan

PUTRAJAYA - Laporan Kajian Pengurusan Kes Di Mahkamah Perusahaan Malaysia (MPM) yang diterbitkan Jabatan Perangkaan (DOSM) mendapati kes pembuangan pekerja mencatatkan jumlah tertinggi diselesaikan di Mahkamah Perusahaan dalam tempoh lima tahun dari 2019 sehingga 2023.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, jumlah berkenaan mewakili 86.94 peratus daripada daripada 53,024 kes yang berjaya diselesaikan di MPM dalam tempoh lima tahun berkenaan.
Menurut, Mohd Uzir, kategori kedua tertinggi ialah ketidakpatuhan 'award' atau keputusan dan perjanjian kolektif iaitu sebanyak 9.74 peratus.

"Manakala peratusan bagi kategori kes yang lain adalah kecil iaitu di antara 0.04 peratus sehingga 1.62 peratus sahaja.
"Lima negeri tertinggi yang mencatatkan peratusan penyelesaian kes tertinggi bagi tempoh lima tahun ini pula ialah Selangor (47.61 peratus), Kuala Lumpur (17.82 peratus), Johor (6.66 peratus), Pulau Pinang (5.81 peratus) dan Perak (4.63 peratus).
"Sementara itu, dapatan kajian juga menunjukkan bahawa pengadu lelaki merupakan kumpulan pengadu tertinggi yang terlibat dalam kes pembuangan kerja iaitu sebanyak 72.99 peratus berbanding pengadu perempuan iaitu sebanyak 27.01 peratus," katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis pelancaran laporan berkenaan di sini pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata, dari segi pembabitan kesatuan sekerja dan majikan pula, didapati bahawa sebanyak 77.78 peratus kesatuan sekerja terbabit dalam penyelesaian kes di Mahkamah Perusahaan manakala 22.22 peratus adalah daripada pihak majikan.
Tambahnya, bagi perjanjian kolektif pula, industri pembuatan menjadi sektor tertinggi yang terbabit dalam penyelesaian kes iaitu sebanyak 59.34 peratus, diikuti pengangkutan dan penyimpanan (8.30 peratus) serta aktiviti kewangan dan insurans atau takaful (6.76 peratus).
"Dapatan kajian juga menunjukkan bahawa sebanyak 96.71 peratus jenis permohonan perjanjian kolektif yang diterima di Mahkamah Perusahaan adalah yang diperbaharui manakala 3.29 peratus adalah perjanjian kolektif yang baharu," katanya.
Ujarnya, hasil kajian itu turut mencadangkan lapan tumpuan strategik merangkumi 21 inisiatif dan 21 pelan tindakan khusus untuk pihak yang terbabit dalam pengurusan kes di Mahkamah Perusahaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!