Dua nelayan hilang: Anak harap bapa selamat ditemui

MELAKA - [DIKEMAS KINI] Anak kepada Muarep Sakim, 63, yang dilaporkan hilang ketika turun ke laut sejak Rabu lalu di perairan Pulau Undan di sini, berharap ayahnya itu ditemui dalam masa terdekat ini.
Susanti Muarep, 40, yang juga anak sulung daripada lima beradik berkata, pada Ahad lalu ayahnya menyatakan hasrat untuk turun ke laut setelah dua bulan berehat sebagai nelayan.
"Sebelum ini ayah tidak dapat turun ke laut kerana mengalami kerosakan enjin bot," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kawalan Operasi (PKO) di Jeti Nelayan Padang Temu di sini, pada Jumaat.
Menurut pekerja swasta itu, dia hanya mengetahui insiden menimpa bapanya itu setelah dimaklumkan oleh ibunya ketika berada di tempat kerja di Klebang pada pagi Jumaat.
"Terkejut bila dapat tahu kejadian itu, hinggakan tangan saya menggigil sebelum adik membawa saya ke jeti ini dengan menunggang motosikal.
"Walaupun mak dan ayah telah berpisah lebih 20 tahun lalu tapi hubungan kami baik, dan harap sangat ayah dapat ditemui tak kira sama ada hidup atau sebaliknya," katanya.
Susanti yang tinggal di Bukit Rambai bersama ibunya berkata, bapanya yang telah lebih 40 tahun bergelar nelayan bukan sahaja peramah malah pemurah dan sering memberi mereka sekeluarga hasil tangkapan ikan.
"Kadang-kadang hasil tangkapan laut kawan dia pun dia bagi kami seperti ikan tenggiri, parang dan siakap.
"Sekali lagi saya harap ayah ditemui selamat dan kami akan setia menunggu," katanya lagi.
Terdahulu Sinar Harian melaporkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka dan Negeri Sembilan mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) selepas dua nelayan dilaporkan hilang di perairan Pulau Undan di sini, pada petang Khamis.

Pengarahnya, Kepten Maritim Mohd Khairi Abd Aziz berkata, pihaknya menerima laporan mengenai insiden yang menimpa dua nelayan dengan sebuah bot melalui kumpulan aplikasi WhatsApp Sahabat Maritim pada jam 5 petang.
Sementara itu, Exco Kemajuan Desa Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh yang meninjau operasi SAR berkata, telah menghubungi pihak berkuasa Maritim Indonesia bagi membantu mencari kedua- dua mangsa yang belum ditemui.

"Saya mohon kepada seluruh rakyat negeri ini dan seluruh rakyat Malaysia sama-sama mendoakan dua nelayan orang kita ini dilindungi dan diselamatkan.
"Kita juga telah menghubungi negara jiran untuk maklumat ini jika mereka terjumpa nelayan kita di perairan Indonesia, mereka akan maklumkan kita dan kita akan datang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!