Blok ASEAN dijangka mampu jadi jambatan kembalikan hak rakyat Palestin

SHAH ALAM - Blok ASEAN dijangka mampu menjadi jambatan yang penting selain negara Arab lain dalam perjuangan mengembalikan hak rakyat Palestin yang ketika ini dibawah jajahan Israel.
Pengerusi Kaukus Parlimen Asia Tenggara untuk Pembebasan Palestin, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, sekiranya usaha tersebut berjaya dilaksanakan, perjanjian yang termeterai dalam gencatan senjata perlu diperketatkan lagi.
"Ini termasuk bagaimana bila kita pergi ke depan, harapan dan jangkaan ada lagi usaha inisiatif untuk pastikan penjajahan itu tidak berterusan dalam bentuk ekonomi, sosial dan sebagainya kerana apa yang berlaku merupakan pengajaran yang perlu diambil.
"Maknanya kita tidak boleh biarkan hanya Israel dan Amerika Syarikat (AS) yang menentukan tetapi kita perlu ada usaha atau ikhtiar yang dilakukan. Bagi saya, saya nampak blok ASEAN ini sebagai jambatan penting, terutamanya ke arah perkara-perkara macam itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika program Interviu bertajuk 'Gencatan senjata dan ke arah Palestin merdeka' yang disiarkan secara langsung dari Auditorium Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini pada Jumaat.
Program yang dihoskan oleh Haizir Othman itu turut dibarisi panelis hebat iaitu Penasihat Kehormat MyCARE, Dr Hafidzi Mohd Noor.
Mengulas lanjut, Syed Ibrahim memaklumkan, untuk membebaskan rakyat Palestin tidak boleh bergantung kepada negara Islam sahaja kerana sebelum tiba tempoh gencatan senjata ini sudah membuktikan kegagalan pihak tersebut.
"Kegagalan negara kuasa besar yang membiarkan penindasan berlaku dalam tempoh yang begitu panjang sehingga puluhan ribu rakyat Palestin meninggal dunia dan kediaman musnah. Ini merupakan satu kegagalan.
"Saya rasa kalau mereka tak belajar daripada kegagalan ini, mereka masih lagi mahu mengikut diplomasi atau jalin hubungan baik... maka saya rasa tidak ada lagi kepercayaan yang boleh diberikan kepada negara-negara kuasa besar.
"Sebaliknya, kita di blok ASEAN ini kena tunjukkan jalan dan bawa pemimpin kita ke depan, merapatkan jurang dengan pihak atasan dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta mengembalikan semula hak rakyat Palestin," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!