X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19: Agenda sambutan Hari Wanita Kebangsaan dikurangkan

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (kanan) bercakap kepada pemberita mengenai Sambutan Hari Wanita di Kementerian Pembangunan Wanita dan Masyarakat hari ini. Turut sama Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh. - Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Agenda sambutan Hari Wanita Kebangsaan Tahun 2020 yang akan diraikan mulai 1 sehingga 12 Mac depan akan dikurangkan sebagai langkah berjaga-jaga susulan penularan koronavirus (Covid-19).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, ini kerana kerajaan memandang serius penularan wabak tersebut yang turut menjadi salah satu isu dalam negara ketika ini.

"Kita jangka penyertaan yang kurang (bagi sambutan Hari Wanita Kebangsaan). Kita kena realistik.

"Kalau sesiapa yang tidak sihat kita tidak galak (hadiri majlis) sebab kita sangat sedar risiko (Covid-19)," katanya pada sidang media Hari Wanita Kebangsaan Tahun 2020 di Pejabat Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) di sini hari ini.

Bagaimanapun, Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menegaskan sambutan tetap dijalankan dengan sentiasa meletakkan kebersihan di tahap tertinggi.

"Ada tempat-tempat yang kita mahu ramai orang berkumpul tapi dalam masa yang sama kita sediakan pembersih tangan supaya semua pihak menjaga kebersihan masing-masing.

"Kita juga akan cuba sediakan pembersih tangan dan keperluan lain seperti penutup muka di tempat-tempat berlangsungnya majlis itu," katanya.

Sementara itu, sambutan Hari Wanita Kebangsaan yang bertemakan 'Seimbang Untuk Sejahtera' itu dijangka akan dilancarkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 6 Mac depan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus