Imigresen Perak hantar pulang 107 PATI ke negara asal

Seramai 107 PATI dari lima negara telah dipindahkan dari Depot Imigresen Langkap untuk dihantar pulang ke negara asal pada Rabu. Foto Imigresen Perak
Seramai 107 PATI dari lima negara telah dipindahkan dari Depot Imigresen Langkap untuk dihantar pulang ke negara asal pada Rabu. Foto Imigresen Perak
A
A
A

IPOH - Seramai 107 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari lima negara telah dipindahkan dari Depot Imigresen Langkap untuk dihantar pulang ke negara asal pada Rabu.

Kesemua PATI terdiri 77 lelaki, 27 wanita dan tiga kanak-kanak berusia antara satu hingga 57 tahun itu dihantar pulang melalui pintu masuk udara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang.

Pengarah Imigresen Perak, Meor Hezbullah Meor Abd Malik berkata, kesemua mereka masing-masing dari Indonesia, India, Pakistan, Vietnam dan Bangladesh telah pun selesai menjalani proses perundangan termasuk bayaran kompaun dan penjara seperti yang diputuskan pihak berkuasa kehakiman.

"Mereka ditahan dalam beberapa operasi dan selesai menjalani hukuman atas kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

"Kesemua PATI yang dipindahkan ke negara asal ini juga telah disenaraihitamkan bagi mencegah mereka dari memasuki semula ke negara ini," katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, pemindahan warga asing ke negara asal tersebut merupakan sebahagian daripada aktiviti berterusan penguatkuasaan dilaksanakan Imigresen negeri.

"Langkah ini antara lain membanteras PATI bagi tahanan yang ditempatkan di Depot Imigresen," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, dua kanak-kanak perempuan warga Kemboja antara 16 PATI yang ditahan hasil pemeriksaan di tujuh premis sekitar daerah Batang Padang pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Katanya, PATI berusia antara lima hingga 48 tahun itu didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 antaranya berada di negara ini tanpa permit yang sah.

"Kesemua mereka terdiri warga Pakistan, Myanmar, Indonesia dan Kemboja ini telah ditahan di Depot Tahanan Imigresen Ipoh untuk siasatan lanjut.

"Orang ramai diharap terus memberikan maklumat keberadaan warga asing di kawasan masing-masing bagi membantu Imigresen menangani lambakan PATI ke negara ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!