Pemandu lori sebabkan kematian wanita mohon representasi

SEREMBAN - Pemandu lori yang memandu dalam keadaan pengaruh dadah sehingga menyebabkan kematian seorang wanita di Nilai tahun lalu akan mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) atas pertuduhan yang dihadapinya.
Peguam, R S Kerthinee yang mewakili tertuduh, Jimhar Albasar, 31, memaklumkan perkara itu ketika sebutan kes di hadapan Hakim, Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat.
Kerthinee berkata, representasi itu akan difailkan selepas meneliti dokumen berkaitan kes yang diperoleh.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noor Syafina Mohd Radzuan memaklumkan yang pihak pendakwaan telah menyerahkan dokumen kepada pihak peguam.
Mahkamah kemudian menetapkan 20 Februari depan untuk sebutan semula kes dan keputusan representasi.
Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai pemandu lori jenis Nissan didapati memandu kenderaan tersebut di bawah pengaruh dadah berbahaya jenis Methamphetamine sehingga menyebabkan kematian seorang wanita berusia 31 tahun.
Kesalahan itu dilakukan lebih kurang pukul 4.15 petang di Jalan Persiaran Negeri di Nilai di sini pada 27 September lalu.
Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (pindaan 2020) dan boleh dihukum di bawah akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara selama tempoh tidak kurang daripada 10 tahun dan tidak lebih daripada 15 tahun dan denda tidak kurang RM50,000 dan tidak lebih RM100,000 serta hilang kelayakan memandu selama tempoh tidak kurang daripada 10 tahun dari tarikh sabitan.
Sebelum ini, media melaporkan pada 1 Oktober lalu, pemandu lori, Jimhar Albasar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh dadah berbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang pemandu wanita di Nilai, pada 27 September lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

