Kubah pengering solar, bantu nelayan hasilkan ikan kering lebih cepat

PORT DICKSON - Kebiasaannya untuk menghasilkan sesuatu produk ikan kering, masa diperlukan antara tiga ke empat hari.
Namun sejak Oktober lalu, nelayan terutama di bawah Persatuan Nelayan Kawasan Teluk Kemang mampu menghasilkannya dalam tempoh lebih singkat iaitu antara empat atau lima jam saja melalui kemudahan kubah pengering solar yang disediakan.
Kemudahan itu disumbangkan hasil daripada dana wakaf yang dikumpulkan melalui inisiatif wakaf Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) dengan kerjasama Bank Muamalat.
Pengurus Besar Persatuan Nelayan Kawasan Teluk Kemang, Mohd Faudzi Moham Zakaria berkata, kemudahan berkenaan bukan sahaja dapat memberi manfaat kepada 250 nelayan di bawah persatuan itu tetapi juga nelayan di tempat lain.

"Dengan adanya kemudahan ini, ikan dapat dikeringkan dalam kadar lebih cepat berbanding biasa dan ia menjimatkan masa.
"Selain itu, kualitinya lebih terjamin kerana dikeringkan di dalam tempat tertutup berbanding konsep tradisional yang perlu dijemur secara terbuka," katanya kepada pemberita pada Khamis.
Menurutnya, produk ikan kering di kawasan itu mendapat permintaan yang agak tinggi di pasaran, namun pihaknya hanya mampu mengeluarkan antara 40 ke 50 kilogram saja setiap bulan.
Jelasnya, pelbagai produk ikan masin dihasilkan antaranya gelama, selangat, kurau dan talang.
"Jadi bagi mereka yang mahu menggunakan kemudahan ini, boleh datang ke sini dan beritahu kepada kita tanpa dikenakan sebarang bayaran.
"Selain ikan masin, kubah pengering solar ini juga boleh digunakan untuk tujuan mengeringkan produk makanan lain dan saya difahamkan di Negeri Sembilan, ini adalah yang pertama," katanya.

Sementara itu, Pengerusi MAINS, Datuk Seri Dr Abdul Aziz Sheikh Ab Kadir berkata, sumbangan kemudahan terbabit adalah bukti bagaimana perkhidmatan wakaf dapat dimanfaatkan secara kreatif dan inovatif.
"MAINS sentiasa komited untuk memperluaskan manfaat wakaf kepada pelbagai sektor kehidupan sejajar dengan matlamat untuk memperkasakan umat Islam melalui pendekatan yang holistik dan mampan.
"Selain itu, peranan wakaf juga dapat menyokong pembangunan ekonomi negeri dan mengurangkan kebergantungan kepada sumber kewangan lain," katanya.
Jelas beliau, kubah pengering solar yang disumbangkan mampu mempertingkatkan kualiti dan nilai komersial hasil tangkapan nelayan.
Ujarnya, dengan teknologi terbabit, ikan dapat dikeringkan secara lebih efisien, bersih dan konsisten sekali gus meningkatkan daya saing produk tempatan di pasaran.
"Hal ini memberikan peluang kepada nelayan untuk menembusi pasaran yang lebih luas sama ada di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.
"Inisiatif ini bukan sahaja menyumbang kepada pemuliharaan alam sekitar melalui penggunaan teknologi mesra alam tetapi juga memberikan peluang kepada para nelayan untuk meningkatkan kecekapan dan produktiviti serta hasil pendapatan mereka," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!