Penuntut IPTA samun kereta cikgu

No Image Caption
A
A
A

KULAI - Seorang penuntut di sebuah institut pengajian tinggi awam ( IPTA) ditahan polis bagi membantu siasatan kes pecah rumah seorang guru sekali gus melarikan kereta milik mangsa dalam kejadian pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, guru berkenaan mengesyaki rumah kuarters didiaminya itu dipecah masuk oleh suspek sekitar jam 6.15 pagi selepas menyedari kehilangan beberapa barang antaranya serangkai kunci kereta, dompet, telefon bimbit dan sebuah kereta Kia Picanto hingga mangsa kerugian sekitar RM45,000.

"Bertindak atas maklumat, pasukan dan anggota siasatan jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah ( IPD) Kulai telah membuat serbuan di dua lokasi berbeza di Johor Bahru tengah hari semalam.

"Hasilnya, seorang lelaki warga tempatan berusia 19 tahun yang juga penuntut di IPTA ditangkap.

"Ketika tangkapan itu, polis menemui kereta Kia Picanto, beberapa alat kawalan jauh tertulis perkataan KIA, kad ATM, kad pengenalan, lesen memandu dan kad guru milik isteri mangsa serta Mykid milik anak mangsa.

"Kad pelajar di sebuah IPTA atas nama suspek turut ditemui," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Beng Yeow, suspek tidak mempunyai jenayah lampau berdasarkan semakan rekod jenayah yang dilakukan.

"Polis masih melakukan siasatan lanjut bagi membuktikan kes ini dan penglibatan suspek dalam kes-kes jenayah lain sama ada di dalam mahu pun luar daerah Kulai.

Artikel Berkaitan:

"Suspek kini ditahan reman sehingga 25 Februari depan bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun (jika sabit kesalahan)," katanya.