Kerani bank didakwa pecah amanah akaun masjid lebih RM100,000

Seorang kerani bank mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Alor Setar pada Khamis atas pertuduhan pecah amanah wang akaun sebuah masjid berjumlah RM115,900, tiga tahun lepas. Foto hiasan
Seorang kerani bank mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Alor Setar pada Khamis atas pertuduhan pecah amanah wang akaun sebuah masjid berjumlah RM115,900, tiga tahun lepas. Foto hiasan
A
A
A

ALOR SETAR - [DIKEMAS KINI] Seorang kerani bank mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas pertuduhan pecah amanah wang akaun sebuah masjid berjumlah RM115,900, tiga tahun lepas.

Mohd Abd Rahman Hamzah, 41, didakwa sebagai seorang kerani tingkatan biasa yang diamanahkan wang dalam akaun milik Masjid Kampung Paya, telah melakukan pecah amanah dengan menjadikannya untuk kegunaan sendiri antara 23 Mac hingga 26 Julai 2022 di sebuah bank di Kuala Nerang.

Pertuduhan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 14 tahun dengan sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Atikah Ab Rashid mencadangkan jaminan RM60,000, namun peguam Ilyana Syafiqa Md Saad yang mewakili tertuduh memohon jaminan lebih rendah atas alasan anak guamnya menanggung keluarga.

Hakim Mazdi Abdul Hamid kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin serta mengarahkannya melapor diri setiap bulan di balai polis serta menyerahkan pasport dan menetapkan 16 Februari ini untuk sebutan semula kes. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!