Kedudukan Akademi Latihan Ketenteraan akan disemak semula

KUALA LUMPUR - Kementerian Pertahanan akan menyemak semula kedudukan Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) daripada segi pencapaian dan keberkesanan matlamat penubuhannya.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, faktor seperti keciciran dalam kalangan kadet, isu disiplin, kelestarian kos dalam menetapkan bidang yang diperlukan perlu diperhalusi secara serius.
"Kementerian akan memikirkan pembiayaan khas bagi menaja pengajian pelajar-pelajar dalam bidang kritikal yang diperlukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
"Kementerian juga akan mempertimbangkan pendekatan menebus hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) graduan terpilih dalam kalangan anggota Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) yang berjaya diterima masuk ke dalam ATM," katanya ketika berucap pada Majlis Perutusan Tahun Baharu 2025 di Wisma Perwira di sini pada Khamis.
Hadir sama, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman; Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali.
Pada tahun lalu, negara digemparkan dengan kejadian buli membabitkan pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (ALK–UPNM) yang cedera ditekap seterika disyaki dilakukan penuntut senior.
Hasil siasatan dijalankan, lima pegawai kadet ALK-UPNM terbabit kes buli itu dikenakan tindakan pembatalan perkhidmatan dan diarah membayar ganti rugi kepada kerajaan Malaysia.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, tiga penambahbaikan akan dilaksanakan bagi mengukuhkan perkhidmatan ATM iaitu mengiktiraf pengalaman anggota dengan pemberian kelayakan sekurang-kurangnya diploma.
"Ini merujuk kepada Program Work Based Learning (WBL) yang telah diperkenalkan pada tahun lalu.
"Kita berterima kasih kepada kerajaan yang telah memberi peruntukan awal buat julung kalinya sebanyak RM3 juta pada tahun ini," ujarnya.
Beliau berkata, peruntukan itu membolehkan kementerian menawarkan program tersebut secara percuma kepada anggota ATM yang terlibat tanpa mengenakan apa-apa yuran atau caj pengajian.
"Aspirasi utama program ini adalah bagi memastikan bakal pesara ATM memiliki pengalaman kerja diberikan kelayakan dan pengiktirafan yang sewajarnya sekali gus menjadi asas untuk mereka menyertai alam kerjaya kedua dan mendapat pekerjaan yang lebih baik," ulasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
