Warga emas miliki heroin, syabu lebih 2kg diberkas

MUAR - Polis menahan seorang warga emas dan merampas lebih dua kilogram dadah bernilai RM67,665 di kawasan perumahan sekitar Sungai Abong di sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukliz Azman Aziz berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar menahan lelaki tempatan berusia 61 tahun itu di rumahnya.
Menurutnya, hasil pemeriksaan di rumah suspek menemui dua bekas plastik dan satu botol plastik bertutup yang mengandungi bahan disyaki dadah jenis heroin seberat 1,053 gram.
"Selain itu, tiga peket plastik lutsinar yang mengandungi bahan disyaki dadah jenis syabu seberat 1,224 gram turut ditemui dan menjadikan anggaran nilai keseluruhan rampasan dadah ini adalah sebanyak RM67,665.
"Ujian saringan awal air kencing terhadap suspek menunjukkan hasil positif dadah jenis ‘mop’.
"Selain itu suspek juga mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan kesalahan dadah dan jenayah," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Tambah Raiz Mukhliz, suspek kini ditahan reman sehingga 20 Januari 2025 untuk siasatan lanjut.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan rotan tidak kurang daripada 12 kali.
Selain itu katanya, kes turut disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 di mana jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.
Tambah beliau, orang ramai dinasihatkan supaya tidak terlibat dalam penyalahgunaan dadah dan polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam pengedaran atau pemprosesan dadah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

