Polis buru OKT kes dadah lolos

Mohd Saifulnizam
Mohd Saifulnizam
A
A
A

TANGKAK - Polis melancarkan Op Tutup di semua pintu keluar masuk ke daerah ini bagi memburu seorang suspek lelaki yang meloloskan diri dari tahanan yang sah pada Rabu.

Orang Kena Tuduh (OKT) yang dikenali sebagai Mohd Saifulnizam Zakaria, 38, melarikan diri pada kira-kira jam 1.30 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Roslan Mohd Talib berkata, lelaki warga tempatan itu sedang di siasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Tahanan berbangsa Melayu, beralamat di No. 122, Kampung Padang Lalang, Tangkak Johor dan suspek berbadan bersaiz kecil, kurus, berkulit gelap, tinggi lebih kurang 170cm," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurut beliau, usaha mengesan suspek melibatkan semua elemen termasuk unit anjing pengesan K9 di semua pintu keluar masuk daerah Tangkak serta daerah polis yang bersempadan.

"Siasatan dijalankan di bawah dua seksyen peruntukan kesalahan- kesalahan, Seksyen 223 Kanun Keseksaan iaitu penjawat awam dengan cuainya membiarkan tahanan lari dari pengurungan, jika disabitkan hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh boleh sampai dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya.

"Selain itu, kes juga disiasat di bawah Seksyen 224 kanun keseksaan iaitu tentangan atau galangan terhadap penangkapan yang sah, jika disabitkan hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai dua tahun, atau dengan denda atau dengan kedua-duanya," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh berhubung terus di talian Hotline IPD Tangkak, 06-9785222 atau pegawai penyiasat kes Asisten Superintenden (ASP), Sharidathul Aflaha Ismail di talian 019-2699573.

Beliau turut mengingatkan orang ramai untuk sentiasa berwaspada dan segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan yang mungkin ada kaitan dengan suspek berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!