Kes dadah penyanyi dikir barat: Keluarga harap Eda Ezrin bebas sebelum Ramadan

KOTA BHARU - Keluarga kepada Eda Ezrin atau Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail berharap penyanyi wanita sohor Kelantan itu dibebaskan sebelum Ramadan.
Keluarga terdekat kepada penyanyi itu berkata, impian itu bagi membolehkan mereka menjalani ibadah puasa bersama-sama sebagaimana tahun-tahun sebelumnya.
"Besar harapan kami agar dia dapat pulang semula ke pangkuan keluarga dan perbicaraan kes ini selesai dengan sempurna," katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Sinar Harian pada Selasa melaporkan penyanyi wanita sohor Kelantan dan lima lagi rakannya didakwa di Mahkamah Wilayah Narathiwat atas dua kesalahan iaitu mengambil dadah dan memiliki 6,059 biji pil kuda.
Kesemua tertuduh iaitu penyanyi, Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail,30, atau Eda Ezrin, Mohamad Alif Deraman, 33; Mohd Affendi Ahmad, 35, Nur Aida Mamat,33, Erdieka Mohd Noor, 32, dan Zuhaira Nasrin, 25, mengaku mengambil dadah di hadapan Hakim Yuan Khao Kham.
Bagaimanapun mereka tidak mengaku memiliki 6,059 biji pil kuda semasa ditahan di sebuah hotel di Golok pada 1 November lalu.
Sementara itu dua rakan Eda Ezrin, Erdieka dan Zuhaira mengaku bersalah atas dua pertuduhan iaitu memasuki Thailand tanpa dokumen rasmi dan menduduki negara ini secara tidak sah.
Berkaitan tuduhan miliki pil kuda, hakim meminta kesemua tertuduh mengemukakan bukti dan saksi berhubung perkara tersebut.
Kesemua tertuduh diwakili oleh tiga peguam yang telah dilantik.
Mahkamah menetapkan 11, 13 dan 14 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Keputusan berkait kes ini dijangka akan diputuskan awal Mac depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!