Migran asing masuk secara haram guna bot kecil terbongkar

JOHOR BAHRU - Taktik sekumpulan migran asing menyelinap masuk ke negara ini melalui kawasan pesisir pantai Tanjung Kupang menggunakan bot kecil berjaya digagalkan Pasukan Polis Marin Wilayah Dua pada Isnin lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, sewaktu mengadakan rondaan Op Taring Gelora pada jam 11.30 malam, sebuah bot tidak berlampu dikesan menuju ke perairan Tanjung Adang, Tanjung Kupang di sini.
"Bot terbabit berjaya dipintas selepas dikejar dan ditahan pada kedudukan 1.5 batu nautika dari arah Pulau Merambong, Tanjung Kupang.
"Hasil pemeriksaan di dalam bot mendapati seramai 15 individu terdiri daripada 10 lelaki dan lima wanita berusia 22 hingga 54 tahun tidak mempunyai dokumen yang sah.
"Kesemua 15 orang terbabit termasuk dua orang yang dipercayai bertindak sebagai tekong laut ditahan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menurut beliau, hasil siasatan awal mendapati 13 migran dipercayai warga Indonesia dibawa masuk dari Pulau Terong Batam menuju ke pesisir pantai Tanjung Kupang menggunakan bot bersaiz 22x6 kaki.
"Tekong laut mengaut keuntungan dengan menerima bayaran upah secara tunai daripada sindiket tekong darat yang berpangkalan di Indonesia sebanyak RM1,000 bagi setiap perjalanan.
"Dalam masa yang sama tekong laut turut merisikokan nyawa migran dengan menggunakan bot bersaiz kecil," ujarnya.
Kumar memberitahu, polis merampas sebuah bot fiber, sebuah enjin bot, satu gugusan anak kunci dan 15 telefon bimbit untuk siasatan lanjut.
"Kesemua migran ditahan lanjut mengikut Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 selama 14 hari bermula Selasa.
"Sementara dua lagi individu yang berperanan sebagai tekong laut ditahan mengikut Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) selama 28 hari bermula Selasa.
"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 26A Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007 dan 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!