Remaja terlantar akibat kemalangan

Adnan bersama anaknya, Muhamad Bahaman yang terlantar sejak kemalangan jalan raya pada September lalu. Foto ihsan Adnan.
Adnan bersama anaknya, Muhamad Bahaman yang terlantar sejak kemalangan jalan raya pada September lalu. Foto ihsan Adnan.
A
A
A

JERANTUT - Kemalangan jalan raya pada September lalu merubah hidup seorang remaja, Muhamad Bahaman Adnan, 16 dari Felda Kota Gelanggi Dua yang kini terlantar mengharapkan penjagaan rapi keluarganya.

Ibu bapa remaja itu, Adnan Ali, 61 dan Siti Mariam Mohd Zain, 51, kini buntu susulan kos tinggi diperlukan untuk penjagaan anak kelapan daripada sembilan beradik itu selain mendakwa wang simpanan sudah habis digunakan.

Menurut Adnan, punca rezeki mereka sekeluarga yang sebelum ini meniaga nasi lemak juga terjejas kerana perlu memberikan perhatian rapi terhadap anaknya

"Anak saya mengalami kecederaan parah di kepala selain patah tulang paha kanan, tangan kiri serta mengalami kecederaan teruk bahagian paru-paru dan usus dan cuma kadang-kadang mampu bergerak di hujung jari kaki sahaja.

"Selepas kejadian, dia dihantar ke Hospital Sultan Ahmad Shah Temerloh dan tinggal di wad mendapatkan rawatan selama sebulan sebelum dibenarkan pulang pada Oktober lepas," katanya di sini pada Rabu.

Ujarnya, anaknya kembali memasuki wad di hospital pada 10 Disember lalu selepas sukar untuk menerima makanan menerusi saluran tiub, muntah dan kembung perut berpanjangan.

Jelas Adnan, lebih RM1,000 diperlukan setiap bulan untuk membeli susu khas termasuk lampin pakai buang sejak Muhamad Bahaman mengalami kemalangan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Adnan dan isterinya, Siti Mariam buntu memikirkan kos yang diperlukan untuk anaknya. Foto ihsan Adnan
Adnan dan isterinya, Siti Mariam buntu memikirkan kos yang diperlukan untuk anaknya. Foto ihsan Adnan

Katanya, selain kos rawatan anaknya itu, dia juga perlu menyediakan perbelanjaan untuk empat orang yang masih belajar di sekolah rendah dan sekolah menengah manakala seorang lagi masih di Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

"Seorang lagi anak yang menuntut di Universiti Utara Malaysia (UUM) sudah tamat pengajian dan sedang mencari pekerjaan.Dia pun banyak membantu kami menjaga adiknya," ujarnya lagi.

Tambahnya, setakat ini, dia menerima bantuan sebanyak RM500 sebulan daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) selain jumlah sama daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Memang tertekan juga kerana memikirkan banyak perbelanjaan dan menghargai bantuan ini kerana dapat meringankan beban selain daripada ihsan adik-beradik membantu keluarga kami.

"Kami juga memohon orang ramai agar mendoakan kesembuhan anak saya," jelasnya.

Orang ramai yang ingin membantu mengurangkan beban keluarga ini boleh menyalurkan sumbangan ke dalam akaun Bank Simpanan Nasional, 0699541100134865 atas nama Siti Mariam Mohd Zain.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!