Waspada kemungkinan banjir di Johor, Sabah dan Sarawak

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Rakyat di Johor terutamanya sekitar Mersing dan Pengerang dinasihati agar lebih berwaspada kemungkinan menghadapi bencana banjir akibat luruan Monsun.
Jurucakap Kerajaan, Fahmi Fadzil berkata, amaran hujan lebat telah dikeluarkan Jabatan Meteorologi (MET Malaysia) di Selatan Semenanjung, Sabah dan Sarawak sehingga Ahad ini.
"Peringatan kepada warga yang berada di Johor terutama di sekitar Mersing, Pengerang untuk berhati-hati.
"Juga rakyat di Sarawak dan Sabah untuk sentiasa bersiap sedia menghadapi kemungkinan berlaku banjir akibat luruan Monsun," katanya.
Beliau berkata demikian menerusi sidang akhbar mingguan pasca mesyuarat Kabinet, di sini pada Rabu.
Menurutnya, kesiapsiagaan agensi berkaitan termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berada tahap tertinggi bagi menghadapi bencana berkenaan.
"Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga bersedia bagi menghadapi sebarang isu berkaitan telekomunikasi," ujar Menteri Komunikasi itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!