Minyak sawit tumpah akibat kemalangan di Bidor

TAPAH - Sebuah lori tangki membawa muatan minyak sawit mentah mengalami kebocoran selepas terbabit kemalangan di Kilometer 348.2, Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan dekat Bidor di sini pada Rabu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, laporan kemalangan melibatkan lori yang membawa 45 tan minyak sawit mentah dan lori lain diterima pada jam 12.52 tengah hari.
Menurut beliau, sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bidor diatur gerak ke lokasi kejadian bagi melakukan pembersihan.

"Lori tangki tersebut mengalami kebocoran setelah dilanggar oleh sebuah lori yang lain.
"Pasukan bomba menggunakan 40 guni serbuk kayu dianggarkan seberat 1.2 tan metrik bagi menyerap tumpahan sejauh 200 meter selain menghalang minyak daripada terus mengalir ke longkang," katanya di sini.
Menurut beliau, tiada mangsa lain yang mengalami kecederaan dalam kejadian itu dan operasi pembersihan masih diteruskan bersama pihak UEM Edgenta.
Dalam pada itu, PLUS menerusi hantaran di aplikasi X memaklumkan setakat jam 2.59 petang, kerja pembersihan dan penundaan kenderaan terbabit kemalangan masih sedang dijalankan.
"Lorong kanan dan kiri ditutup, namun masih boleh dilalui secara berselang seli," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!