Semesti sekolah pertama guna telaga tiub teknologi nano

Ahmad Qayyum Atafiqri Ahmad Zafri, 15, (dua, kanan) bersama rakan-rakannya mengambil air minuman daripada telaga tiub berintegrasi sistem Ayaq-Nano yang dibina di Semesti.
Ahmad Qayyum Atafiqri Ahmad Zafri, 15, (dua, kanan) bersama rakan-rakannya mengambil air minuman daripada telaga tiub berintegrasi sistem Ayaq-Nano yang dibina di Semesti.
A
A
A

BAGAN DATUK - Sekolah Menengah Sains Teluk Intan (Semesti) menjadi sekolah pertama di negara ini menggunakan sistem rawatan penapisan air nano (Ayaq-Nano) menerusi projek telaga tiub berintegrasi di bawah kendalian Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG).

Ketua Pengarah JMG, Datuk Shahar Effendi Abdullah Azizi berkata, sistem penapisan rawatan air itu dibangunkan bersama Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (Sirim) dengan kos RM325,000 di bawah peruntukan Projek Pembangunan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) bagi mengatasi masalah air berpayau.

Menurutnya, penilaian awal menggunakan kaedah geofizik menunjukkan sekolah itu berpotensi dibangunkan sebagai sumber air bawah tanah, namun selepas ujian analisis kualiti dilakukan didapati airnya payau dan tidak boleh digunakan sebagai minuman.

"Jadi kita mohon bantuan Sirim untuk atasi masalah ini dengan teknologi nano kita berjaya mengubah air ini daripada payau kepada air yang boleh digunakan untuk minuman dan kegunaan-kegunaan lain.

"Menerusi sistem ini, sebanyak 5,000 liter air bersih sehari dapat dibekalkan bagi menampung keperluan alternatif pihak sekolah," katanya kepada pemberita sempena Majlis Perasmian dan Penyerahan Telaga Tiub Berintegrasi Sistem Ayaq-Nano JMG kepada Semesti di sini hari ini.

Juruteknik Sirim, Ahmad Zahid Omar menunjukkan operasi telaga tiub berintegrasi sistem Ayaq-Nano yang dibina di Semesti.
Juruteknik Sirim, Ahmad Zahid Omar menunjukkan operasi telaga tiub berintegrasi sistem Ayaq-Nano yang dibina di Semesti.

Beliau berkata, pada 2017 lalu, JMG telah melaksanakan projek perintis pembangunan sumber air tanah dengan membina satu telaga tiub di Sekolah Menengah Sains Bagan Datuk (SABDA) bagi mengatasi masalah bekalan air yang tidak mencukupi di daerah itu.

Katanya, projek dibangunkan oleh Lembaga Air Perak (LAP) itu akan mula digunakan tahun ini dan boleh menampung keperluan air bersih kepada 30,000 penduduk.

Artikel Berkaitan:

"Rentetan masalah bekalan dan tekanan air rendah di daerah itu, Jabatan Perdana Menteri telah mengusulkan agar JMG membuat kajian mendapatkan tenaga air bawah tanah sebagai sumber alternatif dengan kos rendah berbanding sumber air permukaan.

"Selain dua sekolah ini, kita juga telah kenal pasti dua lagi lokasi iaitu di Rungkup yang berpotensi dibangunkan bagi tujuan sama, namun belum bercadang untuk melaksanakannya lagi," katanya.

Dalam perkembangan sama, Shahar Effendi berkata, setakat ini JMG telah membina lebih 4,000 telaga tiub di seluruh negara.

"Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli telah menetapkan penggunaan sumber air bawah tanah kepada 20 peratus menjelang 2030 ketika ini kita baru mencapai kira-kira tiga peratus sahaja," katanya.

Shahar Effendi (kanan) menyempurnakan serahan telaga tiub berintegrasi sistem Ayaq-Nano kepada Pengetua Semesti, Naharudeen Othman.
Shahar Effendi (kanan) menyempurnakan serahan telaga tiub berintegrasi sistem Ayaq-Nano kepada Pengetua Semesti, Naharudeen Othman.