Penyanyi wanita sohor Kelantan, lima rakan didakwa hari ini

NARATHIWAT, THAILAND - Penyanyi wanita sohor Kelantan dan lima lagi rakannya didakwa di Mahkamah Wilayah Narathiwat di sini, pada Selasa atas dua kesalahan iaitu mengambil dadah dan memiliki 6,059 biji pil kuda.
Kesemua tertuduh iaitu penyanyi Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, atau Eda Edzrin, Mohamad Alif Deraman, 33, Mohd Affendi Ahmad, 35, Nur Aida Mamat, 33, Erdieka Mohd Noor, 32, dan Zuhaira Nasrin, 25, mengaku mengambil dadah di hadapan Hakim Yuan Khao Kham.
Bagaimanapun mereka tidak mengaku memiliki 6,059 biji pil kuda semasa ditahan di sebuah hotel di Golok di sini pada 1 November lalu.

Sementara itu Erdieka Mohd Noor, 32, dan Zuhaira Nasrin, 25, mengaku bersalah atas dua pertuduhan iaitu memasuki Thailand tanpa dokumen rasmi dan menduduki negara ini secara tidak sah.
Berkaitan tuduhan miliki pil kuda, hakim meminta kesemua tertuduh mengemukakan bukti dan saksi berhubung perkara tersebut.
Kesemua tertuduh diwakili oleh tiga peguam yang telah dilantik.
Mahkamah menetapkan 11, 13 dan 14 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Keputusan berkait kes ini dijangka akan diputuskan awal Mac depan.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, penyanyi wanita popular Kelantan antara enam individu yang dipercayai ditahan Polis Thailand dalam serbuan di sebuah hotel di Golok pada 1 November lalu.
Penahanan penyanyi berusia 20-an bersama lima lagi individu itu bagi membantu siasatan berkait rampasan lebih 6,000 biji dadah dipercayai pil kuda.
Susulan penahanan itu, kesemua suspek yang ditahan polis Thailand bersama lebih 6,000 biji pil kuda didapati positif dadah jenis methamphetamine.
Enam suspek itu kemudian ditahan reman selama 84 hari atau hampir tiga bulan bagi membantu siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!