Tiga rakan didakwa edar hampir 2kg dadah

TELUK INTAN - Tiga rakan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Teluk Intan pada Khamis atas pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat hampir 2 kilogram (kg) minggu lalu.
Tertuduh, Mohamad Hafis Abu Bakar, 39; Muhamad Aliff Saidin, 34, dan Muhammad Aiman Afiq Muhamad Yusri, 27, mengangguk faham sebaik pertuduhan dibaca bersama di hadapan Majistret Naidatul Athirah Azman.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada ketiga-tiga tertuduh.
Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama telah mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine anggaran berat 1.918kg di kawasan parkir sebuah pasar raya di Jalan Changkat Jong di Teluk Intan, sekitar jam 2.50 petang pada 6 Januari 2025.
Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah 39B(2) akta sama dan dibaca bersama di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum dengan hukuman mati, hendaklah dihukum tidak kurang daripada 15 sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Izzuddin Fakri Hamdan manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian menetapkan kes ini disebut semula pada 19 Mac ini sementara menunggu laporan kimia.
Media melaporkan polis menahan tiga lelaki berusia 26 hingga 38 tahun dan merampas dua kilogram dadah bernilai lebih RM65,000 dalam serbuan yang dijalankan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak.
Pemeriksaan ke atas sebuah kereta jenis Toyota dinaiki suspek berkenaan telah menemui dua bungkusan plastik berlabel 'Guanyunwang' disyaki mengandungi dadah jenis syabu.
Kesemua mereka yang berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan Kulim, Kedah itu difahamkan baru pertama kali mendapat permintaan menjual bekalan dadah kepada pembeli di Teluk Intan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!