Tolak RM50,000 wang rasuah demi integriti Sang Saka Biru

Razarudin menyampaikan Surat Penghargaan Khas Ketua Polis Negara kepada penerima di Majlis Apresiasi Ketua Polis Negara Bersama Pegawai Polis yang Bersifat Mulia dan Budiman di Pulapol Kuala Lumpur pada Selasa.
Razarudin menyampaikan Surat Penghargaan Khas Ketua Polis Negara kepada penerima di Majlis Apresiasi Ketua Polis Negara Bersama Pegawai Polis yang Bersifat Mulia dan Budiman di Pulapol Kuala Lumpur pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pegawai polis tidak sanggup menjual integriti dirinya demi kesetiaan kepada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) walaupun ditawarkan wang sebanyak RM50,000.

Berbekalkan semangat Sang Saka Biru, Inspektor Mohd Tarmizi Said, 40, berkata, dia tetap meneruskan tugasnya mengambil tindakan memberkas suspek sindiket penyeludupan minyak bersubsidi, meskipun ditawarkan wang terbabit.

"Sebagai pegawai polis yang menjalankan tugas di lapangan sememangnya kami akan berhadapan dengan pelbagai dugaan dan cabaran termasuk ditawarkan wang rasuah namun pokok pangkalnya atas diri kita sendiri.

Mohd Tarmizi
Mohd Tarmizi

"Meskipun saya menolak wang rasuah yang ditawarkan sebanyak RM50,000 itu, namun ia bukanlah sesuatu yang saya banggakan, sebab ini adalah tanggungjawab semua pegawai dan anggota polis," katanya ketika ditemui selepas Majlis Apresiasi Ketua Polis Negara Bersama Pegawai Polis yang Bersifat Mulia dan Budiman, di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur pada Selasa.

Mohd Tarmizi yang kini bertugas di Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor berkata, tindakannya menolak rasuah secara tidak langsung menjaga nama baik dan imej PDRM.

Mohd Tarmizi adalah antara 200 pegawai polis yang menerima Surat Penghargaan Khas Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Sementara itu, Lans Koperal Christopher Lawai Johnny, 30, yang patah tangan semasa menjalankan rondaan antara yang turut menerima anugerah terbabit.

Artikel Berkaitan:

"Saya berkhidmat di Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam di Johor dan dihantar ke Kluang untuk membantu operasi polis bagi pilihan raya kecil di sana.

"Saya sedang menjalankan rondaan dengan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) apabila dilanggar oleh sebuah kenderaan," katanya yang patah tangan kanan dan mengalami kecederaan saraf akibat kemalangan itu.

Christopher berkata, dia bersyukur kerana berada dalam kalangan mereka yang menerima anugerah dan akan terus memberikan yang terbaik untuk pasukan setelah dia pulih sepenuhnya.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, terdapat warga PDRM yang melakukan tindakan atau perbuatan yang melangkaui ekspektasi, luar biasa, bersifat mulia dan budiman dalam menyantuni masyarakat sekeliling.

“Malah, ada yang bertindak lebih berani mempertaruhkan keselamatan diri demi kepentingan masyarakat.

“Saya percaya, semangat penugasan seumpama ini telah wujud serta menjadi budaya dalam kalangan warga Sang Saka Biru sejak sekian lama dan menjadi contoh untuk diteladani,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!