Ancaman dadah sintetik ATS semakin meningkat - AADK

Ruslin (empat dari kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada petugas AADK semasa majlis Amanat Ketua Pengarah dan perhimpunan bulanan AADK 2025 di ibu pejabat AADK di Kajang, Selangor pada Selasa. Foto AADK
Ruslin (empat dari kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada petugas AADK semasa majlis Amanat Ketua Pengarah dan perhimpunan bulanan AADK 2025 di ibu pejabat AADK di Kajang, Selangor pada Selasa. Foto AADK
A
A
A

KAJANG - Dadah sintetik jenis perangsang amfetamin (ATS) seperti syabu, pil kuda dan ekstasi menjadi pilihan utama kumpulan penagih di negara ini.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh, sekali gus membuktikan ancaman berkaitan dadah sintetik semakin meningkat di negara ini.

"Dadah jenis ATS ini membabitkan 119,410 pengguna atau 70 peratus daripada jumlah keseluruhan penagih.

"Dadah jenis opiat pula merupakan pilihan kedua penagih dadah di seluruh negara dengan jumlah 38,854 orang, manakala ganja (6,750 orang) dan selebihnya jenis narkotik serta pil psikotik," katanya

Ruslin ketika berucap dalam majlis Amanat Ketua Pengarah dan perhimpunan bulanan AADK 2025 di ibu pejabat AADK di Kajang, Selangor pada Selasa. Foto AADK.
Ruslin ketika berucap dalam majlis Amanat Ketua Pengarah dan perhimpunan bulanan AADK 2025 di ibu pejabat AADK di Kajang, Selangor pada Selasa. Foto AADK.

Beliau berkata demikian ketika majlis Amanat Ketua Pengarah dan Perhimpunan bulanan AADK 2025 di ibu pejabat AADK di sini pada Selasa.

Menurutnya, statistik menunjukkan terdapat peningkatan dalam kes penyalahgunaan dadah sintetik dan ia memerlukan pendekatan yang lebih agresif dan inovatif.

"Kita tidak boleh menafikan bahawa cabaran masih ada di hadapan kita.

"Penyalahgunaan dan penagihan dadah dan bahan terus menjadi isu serius yang memerlukan perhatian berterusan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu katanya, pada 2024 seramai 169,691 orang penagih dadah direkodkan oleh AADK, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pusat Pemulihan Persendirian (PPP).

"AADK berjaya memulihkan 17,652 klien sepanjang tahun lalu meskipun jumlah penagih dadah dilihat mencatat peningkatan sebanyak 31.6 peratus berbanding 2023.

"Golongan belia berusia 19 hingga 39 tahun masih menjadi kategori paling tinggi dikesan menyalahgunakan dadah iaitu seramai 98,977 orang iaitu mewakili 58.3 peratus daripada jumlah keseluruhan," katanya.

Tambahnya, AADK juga berjaya mencapai sebanyak 79 peratus kadar kepulihan klien pada tahun 2024 berbanding sasaran yang ditetapkan iaitu sebanyak 77 peratus pada tahun tersebut.

"Seramai 17,652 orang klien memenuhi kriteria kekal pulih daripada 22,224 orang klien yang tamat Rawatan Pemulihan Dalam Komuniti (RPDK) sepanjang Januari hingga Disember 2024," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!