Khairudin tawar diri bertanding presiden BAM

DATUK Seri Khairudin Abd Samad menjadi tokoh pertama menawarkan diri untuk bertanding sebagai presiden baharu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada mesyuarat agung tahunan bagi penggal 2025-2029 pada April atau Mei depan.
Tawaran tersebut dibuat berdasarkan pengalamannya sebagai naib presiden BAM sejak 2017 dan Presiden Persatuan Badminton Putrajaya (PjBA) selama 15 tahun.
Kekosongan kerusi panas tersebut susulan peletakan jawatan Tan Sri Mohamad Norza Zakaria pada Ogos tahun lalu.
“Saya juga melihat ada kekosongan selepas Mohamad Norza melepaskan jawatan sebagai presiden BAM dan sekarang dipangku oleh Timbalan Presiden (Datuk V Subramaniam).
“Saya juga berminat untuk membuat perubahan dalam pemilihan atau menentukan hala tuju BAM ini,” katanya.
Sebagai rekod, Khairudin pernah menjadi pengurus pasukan badminton Piala Thomas dan Sudirman 2021 selain masih menyandang jawatan kanan persatuan silat dan sepak takraw Putrajaya serta Presiden Majlis Senator Malaysia.
Beliau yang mencecah usia 61 tahun mengakui mempunyai idea yang boleh diketengahkan untuk memajukan badminton supaya menjadi sukan nombor satu di Malaysia selain memikirkan para pemain negara semakin ditinggalkan oleh lawan dari negara jiran seperti Thailand.
“Bukan saya hendak tinggalkan (nafi) apa yang telah dibuat oleh Norza, Datuk Mohamed Al-Amin Majid dan Tengku Tan Sri Mahaleel Tengku Ariff (mantan Presiden BAM). Dibandingkan Thailand yang lebih maju kalau tidak berbuat sesuatu, kita akan kian ketinggalan,” katanya.
Khairudin yang berasal dari Butterworth, Pulau Pinang juga tidak melihat Subramaniam sebagai saingannya sambil menegaskan, tidak mahu melihat perpecahan akibat pemilihan pucuk pimpinan BAM nanti.
“Jika ada presiden persatuan badminton negeri lain yang mungkin berminat (kerusi presiden), kami boleh duduk berunding. Apa yang penting jangan ada perpecahan dalam pertandingan, itu saya tidak setuju.
“Masing-masing ada idea. Kalau ada pertandingan pun biarlah secara sihat. Saya boleh berhadapan dengan siapa sahaja (pencabar) tetapi tidak melihat Subramaniam satu cabaran saya,” katanya.
Sebagai naib presiden BAM tidak bermakna beliau tidak berbuat apa-apa, namun segala wawasannya jika mendapat mandat teraju baharu perlu dirahsiakan dan dibincangkan dengan rakan-rakan dalam badan induk kebangsaan itu.
“Selain presiden, saya juga kena pastikan calon-calon timbalan presiden daripada pasukan saya.
“Kalau tidak, susah saya hendak bekerja dan majukan sukan ini. Kita yang dalam masyarakat berbilang kaum ini sudah tentu akan dikaitkan dengan apa juga sukan.
“Naib presiden datangnya dari negeri-negeri yang saya tidak boleh tentukan (calon-calonnya tetapi) timbalan-timbalan presiden boleh dan mesti punya visi sama atau sekurang-kurangnya berbincang beri suntikan baharu idea,” katanya.
INFO
Senarai Presiden BAM
1934 - 1937: John L. Woods
1947: Lim Chuan Geok
1949: Heah Joo Seang
1950 - 1953: Khoo Teik Ee
1954 - 1959: Heah Joo Seang
1960: Low Hoot Yeang
1961: Tan Sri Khir Johari
1985: Tan Sri Elyas Omar
1993: Datuk Seri Dr. Abdullah Fadzil Che Wan
2000: Tan Sri Mohd. Nadzmi Mohd. Salleh
2013: Tengku Tan Sri Mahaleel Tengku Ariff
2015: Tan Sri Mohamed Al-Amin Abdul Majid (pemangku)
2017: Tan Sri Mohamad Norza Zakaria
2024: Datuk V. Subramaniam (pemangku)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!