Aaron Aziz lebih berhati-hati

PERNAH menjadi mangsa 'scammer', aktor Datuk Aaron Aziz memberitahu beliau kini lebih berhati-hati sebelum menerima tawaran berlakon.
Jelasnya sebelum ini, ada pihak tidak bertanggungjawab mengambil gambar beliau dan menggunakannya bagi meyakinkan pelabur lain, meskipun beliau tidak terlibat dengan projek filem tersebut.
"Scam yang paling saya benci, ajak jumpa untuk berbincang buat filem atau projek berjuta-juta. Kita datang buat kertas cadangan, kemudian habis mesyuarat ambil gambar bersama, tetapi selepas itu senyap begitu sahaja.
"Apa yang mereka buat, mereka gunakan gambar itu untuk yakinkan pelabur lain untuk melaburkan dalam projek mereka, tetapi hakikatnya saya tidak terlibat pun.
"Ada juga scammer, mereka minta kita tanda tangan kontrak dan ada klausa yang kita tidak boleh ambil tindakan saman mereka semula. Atas sebab itu orang tidak boleh ambil apa-apa tindakan terhadap pihak tidak bertanggungjawab seperti ini," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran siri Din Tiger baru-baru ini.
Disebabkan sudah beberapa kali menjadi mangsa, Aaron berkata, isteri merangkap pengurusnya telah meletakkan syarat untuk mana-mana pihak yang berminat mengambil beliau bekerja untuk meletakkan deposit.
"Kalau orang letak deposit, baru saya akan bersetuju untuk berbincang dan mereka tidak perlu bimbang kerana setiap pembayaran, saya akan sertakan dengan resit," ujarnya yang berharap Din Tiger akan dapat membuka mata masyarakat tentang sindiket penipuan atau scammer.

Sementara itu, bukan sekadar berhati-hati dalam urus niaga, pemilik nama penuh Aaron Aziz Mustapha, 48, itu turut berhati-hati dalam memilih watak yang mahu dilakonkannya.
Sering diberi kepercayaan menjayakan watak romantik dan aksi, Aaron berkata, sudah tiba masa untuk beliau beralih daripada watak-watak stereotaip yang sering kali ditawarkan kepadanya.
"Cukuplah, saya tak nak lagi ambil watak klise seperti orang kaya berkahwin dengan wanita kampung, suamiku jiranku dan yang seumpamanya. Begitu juga dengan watak yang ada unsur keganasan. Tidak mahu lagi sebab sudah terlalu stereotaip.
"Walaupun saya masih lagi menerima (tawaran) watak sebegitu, saya akan berbincang dengan pengarah dan penerbit untuk mengubah pendekatan, sama seperti bereksperimen dengan watak tersebut," jelasnya.
Sementelah industri hiburan kini menghadapi cabaran besar kerana perlu berdepan dengan peningkatan kualiti kandungan yang ditawarkan oleh platform perkhidmatan media over-the-top seperti Netflix dan media sosial.
"Perubahan ini memberi impak yang sangat besar terhadap standard lakonan dan jalan cerita, dengan penonton kini lebih terdedah kepada naskhah luar yang berkualiti tinggi, terutamanya dari Korea Selatan.
"Apabila penonton sudah terbiasa dengan standard tinggi, mereka mengharapkan drama kita juga mempunyai kualiti yang serupa. Selain itu, saya juga perlu mencari watak yang lebih bersesuaian dengan usia," katanya.
Din Tiger mengisahkan jenayah penipuan atau scam dan disiarkan menerusi Degup HD, Unifi TV sejak 6 Januari lalu.
Drama bersiri itu turut dibintangi Afdlin, Mia Sara Shauki, Datin Seri Nina Juren, Josiah Hogan, Ako Mustapha, Tony Eusoff dan Adam Corrie Lee.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!