'Hanya secebis kesengsaraan di Gaza'

SHAH ALAM - Bencana kebakaran besar di Los Angeles hanyalah secebis kesengsaraan penduduk Palestin yang ditindas Zionis selama 463 hari tanpa perikemanusiaan dan telah meragut lebih 46,000 nyawa tidak berdosa.
Rakyat Malaysia yang sebelum ini terkandas di Gaza, Nurul Ain Haron berkata, sekurang-kurangnya mangsa kebakaran di Los Angeles masih mempunyai peluang untuk dirawat di hospital dan mendapat akses kepada makanan serta air.
“Berbanding orang-orang di Gaza, mereka hanya boleh mengharapkan pertolongan Tuhan. Sudah lebih setahun negara Barat berpura-pura buta dan pekak, seperti tidak ada apa yang berlaku.
“Situasinya sangat berbeza kerana insiden di Los Angeles disebabkan oleh kebakaran sementara di Gaza merupakan pembunuhan beramai-ramai yang disengajakan,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Kebakaran hutan besar-besaran di Los Angeles sejak 7 Januari lalu dilaporkan semakin buruk apabila ia merebak ke beberapa kawasan baharu dan memusnahkan ribuan kediaman serta bangunan.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman berpandangan, kejadian di Amerika Syarikat (AS) seharusnya membuka mata negara tentang kesengsaraan yang ditanggung Gaza.
“AS perlu menyedari bahawa apa yang sedang berlaku sekarang adalah satu peringatan.
“Kita berharap ujian yang menimpa mereka sedikit sebanyak dapat menundukkan Presiden AS dipilih, Donald Trump yang dilihat begitu bersemangat mahu menjadikan Asia Barat sebagai neraka baharu. Namun, ALLAH telah menguji terlebih dahulu sebelum mereka bertindak lebih jauh,” ujar beliau.
Tambahnya, umat Islam perlu bijak dalam mencari cara untuk mengalihkan pandangan dan memanfaatkan suasana agar orang ramai dapat melihat apa yang sedang berlaku di Gaza.
“Pada masa sama, kita perlu menunjukkan empati terhadap apa yang AS lalui supaya orang ramai melihat Islam sebagai teladan yang baik. Tidak semua penduduk di LA menyokong Israel.
“Mengkritik atau membezakan antara Amerika dan Gaza tidak akan mendatangkan sebarang hasil. Bahkan, penyokong Palestin di sana juga boleh berubah pendirian sekiranya kita terus mengkritik dan mencemuh mereka,” kata beliau.
Sebelum ini, kenyataan Trump yang mahu menjadikan Asia Barat sebagai ‘neraka’ jika Hamas tidak membebaskan tawanan Israel memakan diri apabila hutan di Los Angeles, California dilaporkan terbakar.
Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, sebelum Trump kononnya ingin membakar Asia Barat pada 20 Januari ini, ‘neraka’ menjenguk dan menyambar bandar AS itu terlebih dahulu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!