Kerajaan Sabah berjaya kutip RM2 juta bagi Tabung Wuhan

Mohd Shafie - Foto Bernama
Mohd Shafie - Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah dengan kerjasama beberapa badan bukan kerajaan (NGO) berjaya mengumpul RM2 juta bagi Tabung Wuhan untuk disalurkan kepada China sebagai tanda prihatin terhadap negara itu yang berhadapan wabak koronavirus (Covid-19).

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, walaupun jumlah berkenaan tidak seberapa, namun ia membuktikan keprihatinan negeri ini terhadap apa yang berlaku di China serta mengukuhkan lagi hubungan baik antara kedua-dua negara.

“Malam ini kita mengadakan majlis amal untuk mengisi tabung mangsa Covid-19 di China, terutama di Wuhan.

"Dalam keadaan sekarang jangkitan Covid-19 juga telah berlaku di beberapa negara dan oleh itu sebagai masyarakat dunia, kita perlu tampil ke hadapan untuk membantu agar masalah ini cepat ditangani.

“Menyedari hakikat bahawa Sabah adalah antara tempat pilihan pelancong China serta para pelabur dari republik itu, saya berasa kita perlu bangkit untuk memastikan sokongan diberi kepada mereka agar wabak Covid-19 pulih secepat mungkin dan vaksinnya diperoleh,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Makan Malam Amal Tabung `We Care, We Love” sempena kutipan tabung berkenaan di sini malam tadi.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew; Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perindustrian Datuk Seri Wilfred Madius Tangau; Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Junz Wong; Menteri Belia dan Sukan, Phoong Jin Zhe; Konsul China di Kota Kinabalu Liang Caide dan Pengerusi Pertubuhan China Sabah, Tan Sri T C Goh.

Sementara itu, Mohd Shafie berkata, beliau percaya bahawa jangkitan Covid-19 hanya bersifat sementara dan keadaan akan pulih sepenuhnya nanti.

Artikel Berkaitan:

“Apabila kerajaan negeri mengumumkan sekatan terhadap kemasukan pelancong China pada 29 Januari lalu, bagi kita ia satu keputusan yang amat sukar kerana kita mempunyai hubungan baik dengan China terutama dalam sektor pelancongan.

“Dengan sekatan itu, saya lihat banyak masalah yang dihadapi oleh para pengusaha pelancongan kerana ketiadaan pelancong khususnya dari China. Saya sedar akan masalah itu, namun apa yang penting adalah keselamatan dan kesihatan rakyat dan bukannya duit,” katanya. - Bernama