Duit simpanan KWSP lenyap RM78,000

Mohd Wazir
Mohd Wazir
A
A
A

KUANTAN - Panggilan daripada 'pegawai polis' berpangkat inspektor mendakwa kereta digunakan merupakan kenderaan curi telah memerangkap seorang wanita dalam jerat sindiket penipuan sehingga mengalami kerugian RM78,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, kejadian tersebut bermula 2 Februari lalu apabila wanita berusia 54 tahun itu digertak kononnya turut dikehendaki atas kes pengubahan wang haram.

Menurutnya, mangsa kemudian diarah mengaktifkan perbankan internet dan memindahkan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ke dalam akaun bank berkenaan bagi tujuan siasatan.

"Mangsa membuat pemindahan wang dari akaun KWSP sebanyak RM78,000 ke akaun bank miliknya seperti yang diarahkan.

"Mangsa menyedari telah ditipu selepas membuat semakan semalam dan mendapati semua wang dalam akaun bank tersebut telah dipindahkan ke akaun atas nama orang yang tidak dikenali," katanya.

Terdahulu katanya, mangsa turut diarah untuk merahsiakan tindakannya memindahkan wang ke akaun tersebut selama seminggu sepanjang proses 'siasatan', bagaimanapun dia membuat semakan akaunnya semalam dan menyedari telah ditipu.

Susulan kejadian itu, mangsa tampil membuat laporan polis semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan: