‘Mengapa ketua baharu DAPSY cepat melatah?’ - Hafiz Ariffin

Hafiz Ariffin
Hafiz Ariffin
A
A
A

SHAH ALAM - Teguran Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh terhadap KK Super Mart dan peniaga lain dalam menitikberatkan isu status dan logo halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) merupakan satu tindakan yang wajar.

Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO, Hafiz Ariffin menegaskan bahawa peringatan yang diberikan oleh Dr Akmal itu bukan serangan kepada kerajaan atau mana-mana parti dalam Kerajaan Perpaduan.

“Segelintir pihak mungkin beranggapan isu ini remeh tetapi bagi pengguna beragama Islam, ia merupakan perkara penting dan kita mempunyai hak untuk menyuarakan pendapat.

“Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah mengesahkan takrifan 'ham’ yang dipamerkan pada bungkusan makanan oleh KK Super Mart tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).

“Malah, syarikat pengeluaran produk tersebut juga bukan pemegang sah SPHM. Maka, penggunaan logo halal palsu ini adalah satu penipuan yang boleh membawa implikasi besar,” katanya dalam satu hantaran menerusi Facebook pada Isnin.

Hafiz yang juga Setiausaha Pemuda Barisan Nasional (BN) itu turut mempersoalkan tindakan Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), Woo Kah Leong yang cepat melatah dan menyifatkan komen dibuat terhadap Dr Akmal itu agak keterlaluan.

“Mengapa ketua baharu DAPSY cepat melatah? Komen ‘jangan tunjuk hero’ yang ditujukan kepada Dr Akmal agak kasar dan memberi mesej seolah-olah kita ingin mencetuskan pertembungan.

"Saya tegaskan, kami menghormati kepimpinan Pemuda PH dan tiada masalah peribadi dengan mereka. Jadi, sila jaga kata-kata anda, keutamaan kami hanya terhadap perkara-perkara penting sahaja.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Kah Leong menyifatkan tindakan Dr Akmal dalam mempersoalkan jaminan keselamatan produk yang mempunyai logo halal dijual rangkaian KK Mart itu sebagai berlagak hero dan mengapi-apikan keadaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar itu berkata demikian bagi mengulas kenyataan terbaharu Akmal berhubung gesaan beliau agar polis dan agensi berkaitan menjalankan siasatan serta mengambil tindakan terhadap pihak terbabit.

Ia susulan penemuan produk makanan 'ham dan cheese' yang status halalnya diragui dan dijual di KK Mart, Universiti Malaya (UM).

Kah Leong turut menasihati Dr Akmal untuk menurunkan suhu politik yang dinaikkan oleh pembangkang dengan niat memecahbelahkan masyarakat majmuk.

Dalam pada itu, Hafiz menegaskan bahawa amalan menyerang Dr Akmal selaku Ketua Pemuda UMNO akan dianggap sebagai isyarat kepada galakkan untuk pertembungan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!