RUU hukuman khidmat masyarakat dibentangkan Mac ini

TELUK INTAN - Draf Rang Undang-Undang (RUU) bagi memperkenal hukuman khidmat masyarakat terhadap individu yang didapati bersalah kerana membuang sampah akan dibentangkan pada sesi Dewan Rakyat Mac ini.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, perkara itu merupakan salah satu usaha dalam meningkatkan kesedaran sivik orang ramai terhadap tanggungjawab menjaga kebersihan persekitaran.
"Kita naikkan kompaun RM300 atau RM500 pun tidak berguna kerana mereka boleh bayar. Cuba sapu sampah selama lima jam, pasti dia tidak akan buang sampah lagi.

"Undang-undang khidmat masyarakat dikenakan kepada mereka yang memang degil. Individu ini akan dipelawa memakai baju khas membantu pekerja pihak berkuasa tempatan (PBT) mencuci longkang, bersihkan tandas dan sapu jalan.
"Hukuman itu bagaimanapun bergantung kepada mahkamah mengikut peruntukan undang-undang nanti," katanya kepada pemberita selepas merasmikan jentera baru Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) di sini pada Isnin.
Media melaporkan hukuman khidmat sosial itu akan dilaksana melalui penyediaan draf Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) serta Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).

Kor Ming berkata, sebanyak 2,634 lokasi tapak pelupusan sampah haram telah ditutup sepanjang tahun 2024.
"Penutupan tapak sampah haram itu dilaksanakan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) di tujuh buah negeri yang mengguna pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007.
"Saya sudah banyak kali beri amaran akan isu ini dan sekarang ini semua orang berpelajaran yang mana mereka tahu sampah perlu dibuang dalam tong sampah. Dengan penguatkuasaan yang dilaksanakan nanti, jangan pula salahkan kerajaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!