Ubur-ubur api muncul di Pantai Hiburan, Rompin

KUANTAN - Pengunjung dinasihatkan supaya berwaspada dengan kehadiran ubur-ubur api yang kini terdampar di sepanjang Pantai Hiburan, Rompin.
Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Pahang, Abdullah Jaafar berkata, kemunculan haiwan tersebut di pantai kerana dikhuatiri daripada spesies berbahaya.
"Setakat ini hanya pantai di Rompin sahaja dikesan ubur-ubur spesies Portuguese man o’ war (Physalia physalis)
"Tapi, kalau boleh jika terdapat ubur-ubur berbahaya seperti ‘Hydrozoan jellyfish', Portuguese man o'war ’dan ‘Cubozoan jellyfish’ atau ‘Box jellyfish’ elak menyentuh kerana sengatannya sangat beracun dan boleh mendatangkan kesan kecederaan teruk atau kematian," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Terdahulu, Majlis Daerah Rompin (MDR) memaklumkan spesies yang diklasifikasikan dalam kumpulan hydrozoan marin itu mudah dikenali dengan warna kebiruan lutsinar.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan di laman sosial Facebook, sengatan ubur-ubur Portuguese man o'war boleh menyebabkan kesakitan pada kulit.
"Kulit rasa panas dan kemerahan, melepuh, kebas, gatal, sakit perut, muntah dan pening.
"Sengatan ubur-ubur ini dapat dilihat seawal tiga minit. Jika disengat, disarankan untuk segera mendapatkan rawatan," katanya.
Sehubungan itu, MDR menasihati orang ramai supaya tidak menyentuh hidupan beracun itu termasuk yang mati kerana boleh memberi kesan berbahaya.
Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Rompin, Leftenan Pertananan Awam (PA) Muhamad Izam Ismail berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian ubur-ubur tersebut daripada petugas Alam Flora.
Menurutnya, wesies Physalia physalis itu dikesan terdampar sejak jam 10 pagi, pada Isnin.
"Kita bersama pasukan keselamatan pantai menjalankan pemantauan dan menasihatkan pengunjung agar tidak menyentuh ubur-ubur tersebut bagi mengelakkan sengatan yang berbahaya.
“Malah, kita juga mengambil langkah mengutip ubur-ubur kawasan terlibat untuk mengurangkan risiko kepada pengunjung,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!